Bekas wartawan NST maut dalam kemalangan
Bekas Wartawan NST Melaka Jason Gerald John meninggal dunia apabila kereta yang dinaikinya terbabas di Lebuhraya Ayer Keroh awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supt A Asmadi Abd Aziz berkata kemalangan kira-kira pukul 3.10 pagi itu berlaku apabila kereta yang dipandu isteri mangsa, D S Krisa, 37, hilang kawalan lalu terbabas dan terlanggar sebatang pokok di pembahagi jalan.
“Mangsa berusia 44 tahun meninggal dunia di tempat kejadian, manakala isterinya yang mengalami kecederaan dibawa ke Hospital Melaka untuk mendapat rawatan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Katanya siasatan awal polis mendapati Jason dan isterinya dalam perjalanan dari arah Plaza Tol Ayer Keroh menghala ke Melaka, Krisa memandu kereta manakala suaminya duduk di bahagian penumpang hadapan.
Beliau berkata kes tersebut disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
- Bernama

