Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Umno sedia berdepan saman pelucuthakan yang difail Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendapatkan semula wang berkaitan 1MDB yang didakwa diterima parti itu di mahkamah, kata pemangku presidennya Mohamad Hasan.

Mengulas sidang media SPRM berkenaan perkara itu pagi tadi, Mohamad berkata langkah yang diambil suruhanjaya itu ialah prosedur selepas akaun Umno dibekukan.

"Itu prosedurnya, selepas setahun (dibekukan), mereka buat permohonan untuk sita wang. Jadi SPRM buat prosedur mengikut lunas undang-undang

"Umno mesti mengemukakan hujah mengapa duit tersebut perlu dipulangkan kepada kita. Kami akan lakukan," katanya kepada media ketika ditemui di Muktamar PAS ke-65 di Kuantan, hari ini.

Saman yang difail SPRM itu melibatkan wang berkaitan 1MDB berjumlah RM270 juta daripada 41 individu dan entiti.

Menurut SPRM, sejumlah besar wang itu - iaitu RM212 juta - diagihkan kepada Umno. Menurut senarai yang disertakan, antara penerimanya ialah Umno bahagian Pekan, Umno bahagian Johor Bahru dan Badan Perhubungan Umno beberapa negeri seperti Kelantan, Selangor dan Pahang.

Mohamad berkata lagi, Umno telah menulis surat kepada SPRM untuk memberikan sebab mengapa wang itu perlu dipulangkan kepada parti itu.

"Surat itu akan dikemukakan sebagai hujah dalam mahkamah apabila tiba (tempoh) setahun. Jadi mereka dulu bekukan, nanti rampas dan sita.

"Jadi bila sampai satu tahun makhamah akan putuskan, kedua-dua pihak akan kemukakan hujah di mahkamah. Terpulang kepada mahkamah untuk dengar siapa yang boleh diberi keputusan yang baik," katanya lagi.

 

Lihat Komen
ADS