Walaupun sedang bercuti daripada menjalankan tugasnya sebagai presiden, Ahmad Zahid Hamidi tidak disekat untuk merasmikan sebarang mesyuarat perwakilan Umno bahagian, kata timbalannya Mohamad Hasan.
Malah kata bekas menteri besar Negeri Sembilan itu, sesiapa saja boleh datang untuk merasmikan mesyuarat parti itu di peringkat bahagian.
"Jemputan (datang) daripada bahagian, sesiapa sahaja boleh datang rasmi bahagian," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Ahmad Zahid boleh merasmikan mesyuarat tersebut apabila sudah mengambil cuti daripada tugas-tugas presiden.
Terdahulu Malaysiakini menerima maklumat Ahmad Zahid bakal merasmikan dua mesyuarat perwakilan Umno iaitu di bahagian Kepong dan Masjid Tanah.
Ahmad Zahid bercuti daripada tugasnya pada pertengahan Dis tahun lalu selepas mendapat tekanan daripada luar dan dalam Umno ekoran tuduhan rasuah yang dikenakan ke atasnya.
Menurut Mohamad walapun Ahmad Zahid bercuti daripada tugas sebagai presiden, bekas timbalan perdana menteri itu masih seorang anggota parti dan wakil rakyat kawasan parlimen Bagan Datuk.
"Dia masih lagi ahli parlimen Bagan Datuk, masih ketua bahagian Bagan Datuk," katanya.
Mohamad yang baru-baru ini mengekalkan kerusi DUN Rantau ditemui selepas menghadiri Muktamar PAS ke-65 di Kuantan, hari ini.
Katanya tidak timbul isu Ahmad Zahid tidak boleh ke mana-mana hanya kerana bercuti daripada menjalankan tugas sebagai presiden.
"Bahkan elok beliau pergi.
"Beliau masih presiden parti tetapi cuma bercuti daripada menjalankan tugas presiden.
"Beliau ialah presiden yang sah yang dipilih oleh ahli semasa pemilihan 2018," katanya.
N Faizal Ghazali, Fakhrull Halim, Alyaa Alhadjri dan Lu Wei Hoong menyumbang untuk laporan ini.