Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

MUKTAMAR PAS | Dalam mengemudi kerjasama politik dengan Umno, PAS tidak begitu berkira mengenai siapa yang perlu menjadi ketua, kata Abdul Hadi Awang.

Kata presiden PAS itu, partinya tidak menuntut Umno menjadikan mereka sebagai ketua dalam hubungan kerjasama tersebut.

Melainkan, kata Abdul Hadi, PAS 'dipaksa' oleh pihak lain untuk menyandang jawatan itu.

"Kita tak menuntut (menjadi ketua), melainkan apabila orang memaksa, dan perlu kita (berada) di hadapan (mengetuai)," katanya pada sidang media selepas sidang muktamar ke-65 PAS berhenti rehat tengah hari tadi.

Muktamar tersebut diadakan di Stadium Tertutup Sukpa di Bandar Indera Mahkota, Kuantan.

Terdahulu Abdul Beliau ditanya mengenai cadangan wakil Pemuda PAS Kedah, Nasrun Othman, yang mahu PAS mengetuai gerakan penyatuan ummah dan kerjasama dengan Umno.

"Pengalaman [...] masa lalu perlu dijadikan pengajaran dan kini PAS perlu menjadi ketua dalam kerjasama yang diusahakan.

"[...] PAS kena jadi leader, berada di tempat teratas bagi supaya al-Quran dan sunnah nabi dapat dipertahankan," kata Nasrun ketika membahaskan ucaptama ketua pemuda PAS, Khalik Abdul Hadi ketika Muktamar Pemuda PAS kali ke-60 semalam.


Baca Pemuda mahu PAS jadi ketua dalam taawun


Kata Abdul Hadi, PAS bersikap fleksibel dalam soal pelantikan ketua, asalkan individu tersebut mengutamakan kepemimpinan Islam.

"Kita sebut secara umum: kepimpinan Islam. Bukan mesti dari Umno, bukan mesti dari PAS. Boleh jadi pihak ketiga jadi ketua," katanya yang menegaskan keadaan begitu boleh berlaku dalam politik.

Katanya orang ramai perlu memahami bahawa politik bersifat anjal.

Biarpun taawun siyasi di antara PAS dan Umno berlangsung agak lama, masih ada perwakilan PAS yang menyuarakan rasa tidak senang atau curiga dengan hubungan berkenaan.

Perkara itu dibangkitkan banyak kali dalam ucapan perbahasan oleh perwakilan dan menjadi isu yang paling mendapat perhatian dalam muktamar kali ini.


N Faizal Ghazali, Fakhrull Halim, Alyaa Alhadjri dan Lu Wei Hoong menyumbang untuk laporan ini.

Lihat Komen
ADS