Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'JK disiplin akan nilai dakwaan pemimpin PKR ketagih ketum'

PKR Perlis percaya siasatan lanjut perlu dilakukan berkaitan dakwaan salah guna dan ketagihan ketum oleh kepimpinan negeri itu.

Bagaimanapun, Naib Pengerusi PKR Perlis, Noor Amin Ahmad ketika dihubungi Malaysiakini berkata pihaknya sehingga kini belum menerima sebarang maklumat berhubung perkara tersebut.

"Setakat ini saya belum terima maklumat terperinci tentang individu yang melaporkan dan pimpinan yang dituduh.

“Saya percaya jika aduan telah dibawa ke peringkat pusat, jawatankuasa disiplin parti akan membuat siasatan dan penilaian, seterusnya mengambil keputusan berdasarkan penemuan mereka.

"Jika ketum semata-mata, buat masa ini ia masih di bawah Akta Racun, bukan dadah.

“Namun, jika ada salah guna atau ketagihan, ia memerlukan siasatan lanjut," kata anggota parlimen Kangar.

Bungkusan air ketum yang dijual secara haram. Gambar hiasan.

Semalam Malaysiakini melaporkan seorang pemimpin PKR Perlis kini terpalit dakwaan salah guna ketum, menyebabkan kepimpinannya dipertikai dan diadukan kepada Presiden Anwar Ibrahim.

Ketidakpuasan hati itu disuarakan oleh sekumpulan pemimpin cabang Padang Besar melalui memorandum bertarikh 24 Mei, antaranya melibatkan timbalan ketua cabang Wan Mohamad Fishaal Wan Daud.

Menurut sumber-sumber, salinannya diberikan kepada beberapa pemimpin kanan PKR, termasuk Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, Setiausaha Agung Saifuddin Nasution dan naib-naib presiden - Zuraida Kamarudin, Xavier Jayakumar dan Tian Chua.

Malaysiakini telah menghubungi pemimpin kontroversi itu dan sedang menunggu maklum balasnya.

Sementara itu, Amin juga berkata beliau masih belum mendapatkan sendiri penjelasan pemimpin kontroversi itu.

“Buat masa ini saya belum berhubung kerana sibuk dengan urusan rumah terbuka esok,” katanya.

Lihat Komen
ADS