Paling Popular
Terkini

MUKTAMAR PAS | Pada majlis makan malam tajaan Menteri Besar Pahang malam tadi, PAS menjelaskan lagi betapa akrabnya hubungan parti itu dengan Umno pada ketika ini.

Menurut presidennya Abdul Hadi Awang, hubungan baik PAS dan Umno seakan-akan "tumpang-menumpang" dan dekatnya kedua-dua parti itu pula bukanlah untuk kali pertama.

“Saya anggap Umno dan PAS ini macam paha kanan dan paha kiri.

"Cubit yang kanan, kiri sakit; cubit kiri, kanan sakit. Kadang-kadang bergilir-gilir, tumpang-menumpang.

"Ini bukan kali pertama kita tumpang-menumpang antara satu sama lain,” katanya dalam ucapan di jamuan makan malam bersama Menteri Besar Pahang di Wisma Belia, di Indera Mahkota dekat Kuantan, semalam.

Ia adalah majlis selingan yang diadakan sempena persidangan tahunan PAS kali ke-65 yang berlangsung sejak semalam sehingga esok.

Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail turut hadir dan menyampaikan ucapan. Ketiga-tiga naib presiden PAS serta setiausaha agung parti itu juga menyerikan majlis tersebut.

 

Kata Abdul Hadi, sejarah "tumpang-menumpang" Umno dan PAS sudah lama, iaitu sejak zaman pemerintahan British lagi apabila parti Hizbul Muslimin diharamkan, bekas pemimpin pertubuhan itu banyak menyertai Umno.

Biarpun kumpulan agamawan dalam Umno menubuhkan PAS pada 1951, kata Abdul Hadi, sikap saling menumpang kedua-dua parti terbabit berterusan apabila Islam dan Melayu dicabar.

Contohnya, kata anggota parlimen Marang itu, ketika PAS bergabung semula dengan Umno bagi membina kekuatan Islam dan Melayu kesan insiden 13 Mei 1969.

Katanya apa yang dihadapi negara kini merupakan situasi yang sangat mencabar apabila suasana politik tidak berpihak kepada penganut Islam.

“Pilihan raya (umum ke-14) baru ini berlaku perubahan politik pemerintah didominasi oleh orang bukan Islam. Berlaku perkara yang mencabar orang Islam, [...] memerlukan kita membuat perubahan.

“Perlu kita bersatu. Kalau dulu kita boleh bersatu dalam perkara yang lebih ringan daripada ini, ini suasana yang lebih berat dan mencabar, memerlukan kita bersatu menghadapi cabaran ini,” katanya lagi.


N Faizal Ghazali, M Fakhrull Halim, Lu Wei Hoong dan Alyaa Alhadjri menyumbang kepada laporan ini.

Lihat Komen
ADS