Dua lagi pelajar Sekolah Agama Taman Mawar, di Pasir Gudang, Johor mendapatkan rawatan akibat sesak nafas selepas terdedah udara bertoksik.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata bahawa kedua-dua pelajar itu kini dalam keadaan stabil dan dirawat di Hospital Sultan Ismail.

Perkembangan terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang telah mendapatkan rawatan adalah seramai 31 orang iaitu 21 perempuan dan 10 lelaki.

"Orang ramai dinasihatkan agar mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya mengalami gejala sesak nafas, loya, muntah, pening, sakit kepala, kekejangan otot dan lemah badan.

"Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari masa ke semasa," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dzulkefly juga berkata bahawa enam pelajar yang dirawat sebelum ini sudah dibenarkan keluar semalam.

Semua agensi berkaitan masih sedang cuba mengesan punca atau sumber pencemaran berkenaan.

Gejala sesak nafas itu dilaporkan beberapa bulan selepas pencemaran kimia di Sungai Kim Kim di negeri itu menyebabkan 111 pelajar sekolah dan 4,000 orang awam menerima rawatan.