Paling Popular
Terkini

Seorang lelaki dari Kampung Charok Gorok, Asam Jawa, di sini yang dilaporkan hilang selepas keluar mencari kayu api di hutan, dekat sini sejak Khamis ditemui mati hari ini.

Mangsa, Muhamad Hafizi Ahmad, 29, dipercayai keluar ke hutan pada jam 6.30 petang pada hari tersebut, namun tidak pulang ke rumahnya sehingga hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata pihaknya menerima laporan orang hilang itu pada jam 9.23 pagi tadi.

“Bertindak atas maklumat itu seramai 20 anggota membuat pencarian di kawasan hutan tersebut sebaik sampai di lokasi pada jam 9.40 pagi.

“Bagaimanapun selepas usaha mencari dilakukan, mayat mangsa telah berjaya ditemui di sebatang pokok pada jam 11.20 pagi oleh orang awam yang turut menyertai operasi tersebut,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Mayat mangsa kemudian diserah kepada pihak polis sebelum dihantar ke Hospital Baling untuk bedah siasat.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS