Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno tak tolak kemungkinan tubuh parti baru
Diterbitkan:  Jun 23, 2019 10:16 AM
Dikemaskini: 2:19 AM

Umno tidak menolak kemungkinan menubuhkan sebuah parti politik baru atau menyertai parti sedia ada jika parti Melayu itu dibubarkan, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Hasni Mohammad.

Hasni berkata ia antara langkah yang sedang dipertimbangkan susulan saman pelucuthakan sivil yang difailkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendapatkan kembali RM270 juta dana berkaitan 1MDB.

“Sekiranya kerajaan membubarkan Umno, apa yang dibubarkan adalah parti tetapi mereka tidak akan dapat membubarkan semangat ahli Umno.

“Kita akan pastikan lebih tiga juta ahli Umno ini tidak menjadi orang tanpa parti, sama ada tubuh parti baharu atau menyertai parti sedia ada, namun bukan parti daripada kerajaan sedia ada,” ujarnya seperti dilapor The Star Online.

Hasni berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan mesyuarat Persidangan Umno Bahagian Pulai semalam.

Beliau juga menyifatkan tindakan terkini SPRM adalah salah guna kuasa memandangkan agensi antirasuah itu telah pun membekukan akaun parti itu tahun lepas.

Namun katanya, Umno masih belum menerima sebarang surat rasmi daripada SPRM mengenai saman pelucuthakan sivil berkenaan.

Beliau juga menegaskan walaupun tindakan diambil terhadap Umno, parti akan tetap relevan dalam landskap politik negara.

Jumaat lalu SPRM memfailkan permohonan untuk mendapatkan semula wang berkaitan 1MDB berjumlah RM270 juta daripada 41 individu dan entiti.

Wang berkenaan diagihkan kepada penerima daripada akaun peribadi bekas perdana menteri Najib Razak, yang mana sebahagian besarnya iaitu sebanyak RM230 juta disalurkan kepada Umno.

Lihat Komen
ADS