Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mat Hasan digesa pulangkan dana 1MDB diterima Umno

Pemangku presiden Umno Mohamad Hasan diminta memulangkan semula dana 1MDB yang diagihkan kepada parti itu untuk menunjukkan beliau berbeza dengan bekas presidennya, Najib Razak.

"Kita dah dengar pembaharuan dalaman yang Umno mahu buat.

"Saya fikir ini adalah peluang keemasan untuk Mohamad bagi melangkaui Najib dan 1MDB," kata Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasir ketika ditemui di ibu pejabat PKR Petaling Jaya, hari ini.

Akmal berkata hanya dengan cara itu, isu yang berlegar mengenai firma pelaburan negara yang bermasalah itu tidak akan berpanjangan.

"Sebagai pemangku presiden, Mohamad dapat memberikan teladan yang baik, jadi dia tidak dibatasi atau mengikut bayangan Najib.

"Jika dia mempunyai maruah, dia harus mengembalikan wang itu," katanya sambil menambah pemimpin Umno itu harus membuktikan beliau dan Najib adalah daripada "geng" yang berbeza.

Jumaat lalu SPRM memfailkan permohonan untuk mendapatkan semula wang berkaitan 1MDB berjumlah RM270 juta daripada 41 individu dan entiti.

Wang berkenaan diagihkan kepada penerima daripada akaun peribadi bekas perdana menteri Najib Razak, yang mana sebahagian besarnya iaitu sebanyak RM230 juta disalurkan kepada Umno.

Antara penerimanya ialah Umno bahagian Pekan, Umno bahagian Johor Bahru dan Badan Perhubungan Umno beberapa negeri seperti Kelantan, Selangor dan Pahang.

Mohamad Jumaat lalu berkata SPRM melakukan prosedur mengikut undang-undang selepas setahun akaun Umno dibekukan dan parti itu bersedia berdepan saman tersebut.

"Itu prosedurnya, selepas setahun (dibekukan), mereka buat permohonan untuk sita wang. Jadi SPRM buat prosedur mengikut lunas undang-undang.

"Umno mesti mengemukakan hujah mengapa duit tersebut perlu dipulangkan kepada kita. Kami akan lakukan," katanya.


Lihat Komen
ADS