Peguam N Surendran yang mewakili Azmin Ali berkata cabaran Ketua Pemuda (AMK) PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz supaya menteri hal ehwal ekonomi itu menyamannya bertujuan sekadar untuk mencari publisiti.

“Kami tidak akan bertindak atau memberikan maklum balas berdasarkan cemuhan untuk mencari publisiti itu.

"Semua tindakan maklum balas undang-undang dibuat berlandaskan kewajaran yang kami fikir munasabah, sesuai jadual kami dan bukan ditentukan oleh orang lain," kicau Surendran di Twitter, hari ini.

Terdahulu, The Star melaporkan Haziq mencabar Azmin untuk menyaman dirinya dan membuat laporan polis terhadapnya sekiranya timbalan persiden PKR itu percaya beliau tidak bersalah.

Ini susulan pendedahan beberapa klip video, yang mana Haziq mengakui dirinya salah seorang individu dalam video tersebut dan mendakwa Azmin sebagai pasangannya.

Azmin bagaimanapun, menafikan dakwaan tersebut, berkata ia komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Polis sedang menyiasat Haziq di bawah beberapa kesalahan, termasuk hubungan seks luar tabii.

Pihak berkuasa juga sedang meneliti kesahihan video berkenaan.

[Baca berita penuh]