Tiada rakyat Malaysia dilaporkan cedera dalam kejadian letupan bom di bandar suci Hindu di Varanasi, India semalam yang menyebabkan 20 orang terbunuh.

Menurut jurucakap Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Delhi, pihaknya sentiasa menghubungi pihak berkuasa India untuk mengetahui perkembangan terbaru akibat kejadian itu.

"Kami harap semua orang selamat dan pada masa yang sama kami sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa India untuk memaklumkan kami mengenai keadaan di Varanasi.

"Kami faham kebimbangan anggota keluarga pelancong Malaysia di Varanasi tetapi kami memberi jaminan bahawa keadaan kini adalah terkawal," kata jurucakap itu hari ini.

Menurut laporan Bernama, pesuruhjaya itu juga menggesa anggota keluarga pelancong Malaysia di India supaya menghubungi pejabat pesuruhjaya itu untuk memberikan butiran diri anggota keluarga mereka yang berada di negara itu.

"Kadang kala, mereka bukan hanya melawat Varanasi tetapi juga pergi ke destinasi lain. Maklumat yang diberikan akan dapat membantu kami mengesan mereka," kata jurucakap itu.

Beliau berkata di sebalik kejadian letupan itu, rakyat Malaysia bebas untuk melawat India tetapi dinasihatkan supaya lebih berhati-hati.

Rakyat Malaysia yang melawat ke India juga dinasihatkan memaklumkan kehadiran mereka di negara itu kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Delhi.

Bagi sebarang maklumat atau butiran lanjut, sila hubungi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Delhi di talian: 00911126111291.