Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin menggesa kerajaan Johor untuk membentangkan pelan serta strategi untuk menguruskan krisis pencemaran yang berlaku di Pasir Gudang, Johor.

Dalam kenyataan media hari ini, Khaled, yang juga merupakan bekas menteri besar Johor menggesa kerajaan negeri tampil membuat kenyataan dan memberikan pendedahan yang segera berhubung situasi sebenar.

"Tindakan berlengah dan tidak bertindak dengan kadar segera ini hanya akan menyebabkan penduduk di Pasir Gudang semakin panik dan tertekan dengan ketidaktentuan berhadapan dengan situasi ini tanpa ada sedikit pun maklumat dan tanggungjawab yang diambil daripada pihak kerajaan.

"Janganlah sekali lagi membiarkan masyarakat dalam kebingungan sedangkan mereka yang terpaksa menerima kesan langsungnya.

"Kita tidak boleh membiarkan perkara sebegini menjadi kelaziman. Kerajaan negeri mesti bertindak pantas dan memberi prioriti kepada isu seperti ini," katanya.

Kira-kira 60 individu mendapatkan rawatan susulan terdedah kepada pencemaran udara di kawasan Pasir Gudang dalam tempoh empat hari lalu.

Beberapa sekolah dan tadika ditutup selepas pelajar mengadu sesak nafas dan muntah.

Pihak berkuasa sehingga kini belum mengenal pasti punca kejadian itu.

Perkembangan itu berlaku tiga bulan selepas penduduk Pasir Gudang berdepan dengan pencemaran Sungai Kim Kim yang menjejaskan 4,000 penduduk dan 111 sekolah.