Seramai 4,779 pelajar memperolehi gred A, 945 daripada mereka mendapat gred A1, dalam semua mata pelajaran yang diambil dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang keputusannya akan diumumkan Isnin ini.

"Saya bangga dengan pencapaian kali ini," kata Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Keputusan akan diumumkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Ahamad Sipon di kementerian itu pada 9 pagi.

Tahun lepas 438,172 pelajar menduduki peperiksaan itu dan 91.1 peratus mendapat sijil yang bermakna 399,138 pelajar lulus, kata Hishammuddin.

Beliau berkata daripada segi pencapaian mata pelajaran, subjek Bahasa Inggeris menunjukkan peningkatan 3.2 peratus manakala yang lain seperti Matematik, Sains dan Biologi turut meningkat.

Katanya prestasi pelajar di luar bandar juga membanggakan.

Keputusan STPM

Hishammuddin berkata keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) pula yang akan diumumkan Khamis depan menyaksikan pencapaian pelajar agak memuaskan dalam beberapa mata pelajaran.

Bagaimanapun, katanya, terdapat kemerosotan dalam mata pelajaran Bahasa Cina, Pengkomputeran dan Matematik, dan sesuatu akan dibuat bagi mencari kaedah untuk mengatasinya.

"Tidak membimbangkan sangat, tetapi kalau kita tidak mengambil inisiatif untuk menanganinya, ia akan menjadi satu masalah besar," katanya.

Keputusan STPM akan diumumkan oleh Naib Canselor Universiti Sains Malaysia Datuk Dr Dzulkifli Abdul Razak selaku pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia.

Hishammuddin juga berkata masalah keciciran pelajar akan dikaji bagi mengenal pasti golongan yang terlibat.

Biro Pendidikan Umno yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan digerakkan untuk mengenal pasti golongan itu bagi memastikan mereka tidak terus ketinggalan dalam sistem pendidikan.

"Contohnya, sebuah keluarga di Felda yang mempunyai sembilan orang anak, jika empat atau lima daripadanya masuk IPT, itu saya tidak bimbang tetapi yang selebihnya pergi ke mana. Kalau masih berada di Felda lagi, saya bimbang mereka akan terjebak dalam gejala sosial seperti dadah," katanya.

Hishammuddin meminta sayap pergerakan wanita parti-parti komponen Barisan Nasional turut membantu mengenal pasti mereka yang tercicir di kawasan masing-masing.

"Apa jua maklumat perlu disampaikan kepada kita, jika tidak kita tidak akan mendapat data atau angka yang sebenarnya," katanya.