Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saman sivil: SPRM akan warta notis untuk pihak ketiga

Pihak pendakwaan akan mewartakan notis pemberitahuan untuk pihak ketiga yang memiliki kepentingan dalam saman pelucuthakan wang RM212 juta berkaitan 1MDB terhadap Umno dan enam pihak lagi, pada 25 Ogos ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Zaini Mazlan membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar, mengikut Seksyen 41(2) Akta SPRM 2009.

Menurut seksyen itu, selepas terbit pewartaan itu, mana-mana pihak yang membuat tuntutan bahawa ia mempunyai kepentingan boleh hadir ke mahkamah pada satu tarikh yang ditetapkan, untuk menunjukkan sebab mengapa harta itu tidak patut dilucuthakkan.

Keputusan itu diputuskan ketika pengurusan kes hari inil

Selain Umno, enam responden lagi ialah Badan Perhubungan Umno Negeri Sabah, bekas anggota parlimen Paya Besar dari Umno Allahyarham Abdul Manan Ismail, bekas menteri Hasan Malek, Wanita MCA, Perano Sdn Bhd dan Binsabi Sdn Bhd.

Perano ialah subsidiari Jakel Trading Sdn Bhd dan pemilik kedai Galeri Tudung Hajra, manakala Binsabi merupakan syarikat pengurusan acara ditubuhkan pada 2010 oleh Sabiamad Abdul Ahad.

Pihak pendakwaan menuntut RM212,965,413.61 daripada Umno; RM1,254,112.24 Badan Perhubungan Umno Negeri Sabah; RM265,146.16 daripada Manan; RM100,000 daripada Hasan; RM300,000 daripada Wanita MCA; RM337,634.78 daripada Perano; and RM827,250 daripada Binsabi.

Tiada bantahan daripada peguam responden terhadap permohonan DPP untuk notis diwartakan dalam tempoh dua bulan.

Peguam Nurfazreen Hazrina Rahim mewakili Umno; Harcharanjit Singh untuk Badan Perhubungan Umno Negeri Sabah; Amin Othman untuk Hasan; Alane Neo untuk Wanita MCA; Thevini Nayagam untuk Perano; dan Muhammad Hasif Hassan dan Mohd Khalil Tajuddin untuk Binsabi.

Ketika prosiding, Zaini dilihat terkejut ketika balu Manan, Rohiza Ahmad yang hadir mewakilinya.

Zaini: Di mana respondedn (Manan)?

Kamal Baharin: Dia meninggal dunia tahun lalu.

Zaini: Anda isterinya?

Rohiza: Ya.

Zaini: Bila suami anda meninggal dunia?

Rohiza: Pada 12 Februari 2018.

Kamal Baharin kemudian membuat permohonan untuk menukar nama responden dalam saman - menggantikan Manan dengan penjaga hartanya (estate).

Zaini membenarkannya dan menjadualkan permohonan penukaran itu pada 4 Julai ini.

Pada 21 Jun lalu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya mengumumkan pemfailan saman pelucuthakan terhadap Umno dan 40 entiti lain untuk mendapatkan semula wang berjumlah RM270 juta yang berkaitan dengan 1MDB.

Sebahagian besar daripada wang itu - iaitu RM212,965,413.61 - dituntut daripada Umno.

Salin notis itu, hakim menetapkan 25 Julai ini untuk responden memfailkan afidavit balasan kepada saman, 15 Ogos untuk pendakwaan memfailkan balasan terhadap afidavit itu, dan 29 Ogos untuk responden memfailkan sebarang balasan terhadapnya.

Beliau kemudian menetapkan 29 Julai ini untuk pengurusan kes kesemua tujuh saman pelucuthakan.

Lihat Komen
ADS