Jangan tutup hak bersuara dalam PKR, kata setiausaha Zuraida
Ketua Penerangan PKR Cabang Ampang yang juga merupakan Setiausaha Politik kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nor Hizwan Ahmad mengingatkan agar hak bersuara dalam parti tidak ditutup.
Nor Hizwan berkata demikian sebagai membidas kenyataan Naib Ketua Wanita PKR, Faizah Ariffin yang mencadangkan agar Zuraida Kamaruddin "angkat kaki” susulan kenyataan naib presiden PKR itu yang menggesa tindakan diambil berhubung isu video seks lucah.
Nor Hizwan berkata adalah penting untuk Faizah memahami hak bersuara di dalam parti.
“Kegagalan Faizah untuk memahami perkara ini jelas menunjukkan kedangkalan beliau dalam mengenal erti perjuangan sebenar PKR.
“PKR tertubuh atas iltizam bahawa setiap ahlinya mempuyai hak untuk bersuara dan tidak hanya menjadi 'pak turut' kepada mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan.
Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) semalam berkata bahawa jika beliau menjadi presiden parti itu, sudah lama Ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz dipecat kerana terpalit dengan dakwaan seks luar tabii.
Bagaimanapun, kenyataan itu diselar Faizah yang meminta Zuraida “angkat kaki keluar dari parti" kerana menyifatkan kenyataannya tidak menghormati keputusan bersama yang dibuat parti berhubung isu berkenaan.
Mengulas lanjut, Nor Hizwan yang juga berkata meskipun melihat kenyataan yang dikeluarkan Zuraida sebagai menentang arus, namun ia harus dihormati oleh semua.
“Faizah juga diharap dapat berfikir secara matang dan tidak menggunakan kata-kata ejekkan dalam melontarkan pendapat beliau.
“Perbuatan beliau bukan sahaja memalukan Wanita PKR tetapi juga memalukan diri beliau sendiri,” katanya.
Tambah Nor Hizwan, Faizah perlu sedar bahawa tugas utama kerajaan kini adalah untuk membela nasib rakyat Malaysia dengan menunaikan manifesto pilihan raya.

