Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tindakan AS sekat pemimpin Iran bakal tutup peluang diplomasi

GLOBAL Sekatan terkini Amerika Syarikat (AS) terhadap kepimpinan Iran akan menutup laluan diplomasi buat selamanya dengan negara itu, lapor agensi berita Sputnik memetik kenyataan jurucakap Menteri Luar Iran Abbas Mousavi pada Selasa.

"Sekatan tidak berguna AS terhadap pemimpin agung dan komander tentera (Iran) akan menutup laluan diplomasi buat selamanya dengan kerajaan AS yang terdesak. Kerajaan (Presiden AS Donald) Trump terlibat dalam pemusnahan semua mekanisme antarabangsa yang diperlukan untuk memelihara keamanan dan keselamatan antarabangsa," kata Mousavi di Twitter.

AS pada Isnin telah mengenakan sekatan terhadap Pemimpin Agung Iran Ayatollah Ali Khamenei dan lapan komander kanan Tentera Laut Iran, Aeroangkasa dan Angkatan Darat Kor Pengawal Revolusi Islam.

Trump berkata sekatan itu bertujuan "menafikan Pemimpin Agung serta pejabat Pemimpin Agung, serta mereka yang rapat dengan beliau dan pejabat tersebut, akses kepada sumber dan sokongan kewangan utama."

Beliau berkata langkah diambil sebagai sebahagian tindak balas kepada ketegangan baru-baru ini yang membabitkan tindakan menembak jatuh sebuah dron Tentera Laut AS di Selat Hormuz dan beberapa siri serangan ke atas kapal tangki minyak di Teluk Oman.

Iran minggu lepas berkata ia menembak jatuh pesawat pengawasan AS yang terbang di wilayah pesisir Hormozgan selepas ia melanggar ruang udara negara itu.

Susulan insiden itu, Trump berkata ia telah mengarahkan serangan ketenteraan ke atas Iran namun membatalkannya kemudian dan sebaliknya memutuskan untuk mengenakan sekatan baharu terhadap Republik Islam tersebut.

Ketegangan antara kedua-dua negara memuncak sejak tahun lepas apabila Trump mengeluarkan AS daripada perjanjian nuklear bersejarah dengan Iran dan mula mengenakan semula sekatan ke atas negara itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS