Emper New York berkaitan 1MDB pula akan dilelong
Sebuah emper (penthouse) di New York yang bernilai jutaan dolar adalah hartanah berkaitan dengan 1MDB yang bakal dijual, menurut dokumen pemfailan yang dibuat di mahkamah daerah Amerika Syarikat pada Selasa lalu.
Emper Walker Tower yang dilaporkan bernilai AS$51 juta (RM210 juta), adalah antara aset yang mahu dirampas oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat dalam saman pelucutan sivil 2016.
Ini susulan cadangan bersama oleh pihak-pihak yang terlibat dalam saman pelucutan hak itu - pendakwa raya Amerika Syarikat yang menuntut hartanah itu - memohon kepada mahkamah untuk membatalkan penangguhan ke atas prosiding supaya jualan interlocutory terhadap harta itu dibenarkan.
Mengikut dokumen mahkamah yang difailkan di Mahkamah Daerah California Tengah bertarikh 15 Jun, dan dilihat oleh Malaysiakini, pihak yang menuntut harta itu disenaraikan sebagai 212 West 18th Street LLC; Atlantic Property Trust, Walker Tower Condominium (residential section) lembaga pengurus; serta waris kanak-kanak kecil, melalui penjaga mereka, salah seorang adalah Safeya Ahmed Kulaib Al Hameli.
Dokumen-dokumen itu menyenaraikan empat individu yang di bawah umur dengan hanya huruf nama mereka sahaja.
Menurut DOJ, harta itu dibeli pada tahun 2014 oleh Khadem Abdulla al Qubaisi, yang adalah bekas pengarah urusan International Petroleum Investment Company (IPIC) dari Abu Dhabi.
Dia adalah salah seorang daripada tiga yang didakwa berkonspirasi menipu 1MDB.
Wall Street Journal baru-baru ini melaporkan bahawa Khadem Abdulla dihukum 15 tahun penjara di Abu Dhabi kerana jenayah kewangan yang tidak berkaitan dengan skandal 1MDB.






