Ketua Wanita DAP Melaka, Chong May Lee menafikan dakwaan bahawa kroni-kroni dibawa masuk ke Hospital Pakar Putra Melaka milik kerajaan negeri itu.

"Ini fitnah, ia tidak benar," katanya yang juga adalah ketua pegawai eksekutif hospital itu.

"Kami akan membuat laporan polis," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Menurutnya, pengurusan hospital akan mengadakan sidang akhbar dalam masa terdekat untuk menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pemuda Umno Melaka mendakwa hospital itu, yang diterajui oleh Chong sedang melakukan pembersihan pekerja dan memasukan kroni mereka untuk menjarah hasil kerajaan negeri Melaka.

“Sehingga kini terdapat seramai sepuluh orang pekerja berbangsa Melayu dan seorang pekerja berbangsa India yang berjawatan di peringkat pengurusan tinggi telah berhenti secara sukarela selepas mereka menerima tekanan kerja yang berterusan.

“Ini belum diambil kira lagi mereka yang telah menerima surat amaran dan tunjuk sebab yang membolehkan mereka diberhentikan kerja pada bila-bila masa,” kata Bendahari Pemuda Umno Melaka, Mohd Noor Helmy dalam satu kenyataan media.

Menurutnya, berdasarkan senario hari ini, Pemuda Umno Melaka merasakan pihak pengurusan tertinggi hospital itu sedang melakukan “pembersihan etnik”.

Selain itu, Mohd Noor juga mendakwa pihak pengurusan tertinggi mempertikaikan jumlah pekerja berbangsa Melayu yang ramai di hospital itu.

Katanya, mereka juga mencaci dan memaki pekerja tanpa mengira tempat sehinggakan ada yang berlaku di dalam lif di hadapan orang ramai iaitu secara terbuka.

“(Pekerja juga) diarahkan melaksana kerja yang bukan kerja hakiki. (Pihak pengurusan juga) mengeluarkan surat tunjuk sebab dan amaran yang tidak jelas puncanya.

“Pemuda Umno Melaka berharap Ketua Menteri (Adly Zahari) mengambil tindakan yang sewajarnya berkenaan perkara ini untuk membela nasib pekerja ini,” kata pemimpin Umno itu lagi.

Setakat ini, Malaysiakini belum berjaya menghubungi ketua menteri dan exco kerajaan negeri yang bertanggungjawap terhadap portfolio kesihatan, Low Chee Leong untuk mendaptkan ulasan mereka.

[Baca berita penuh]