Seorang bekas pemimpin Jemaah Islamiah (JI) kelahiran Malaysia, Nasir Abbas yang digunakan Indonesia untuk "memulihkan" pengganas dalam tahanan bersedia pergi ke Australia untuk membantu mendidik puak pelampau.

Kerajaan Australia sedang meneliti penggunaan proses pemulihan itu selepas dicadangkan Pesuruhjaya Polis Persekutuan Australia, Mick Keelty.

Keelty mempelajari strategi anti-keganasan di Indonesia di mana Nasir, bekas penggiat JI, digunakan untuk membantu memulihkan pengganas.

Nasir kini berperanan untuk bercakap dengan anggota kumpulan pengganas yang ditangkap dan membuka pemikiran mereka kepada Islam yang lebih sederhana sambil mencungkil maklumat daripada mereka mengenai operasi pengganas.

Menurut laporan Bernama dari Melbourne, Australia, Nasir, ipar kepada pengebom Bali, Mukhlas, memberitahu radio ABC bahawa beliau mahu membantu pengganas dalam tahanan untuk memahami makna ajaran Islam sebenar.

"Saya memberikan pendapat kepada polis bahawa saya mahu mendidik semula beberapa sahabat saya terutama yang baru ditahan. Saya mahu menyatakan kepada mereka bahawa mereka salah faham mengenai perjuangan Islam dan mereka juga salah faham mengenai maksud jihad," kata Nasir.

"Jika mereka memerlukan saya ke Australia untuk membantu mereka...saya sedia berbuat demikian."

Nasir berkata beliau telah melakukan banyak kejayaan. Sebahagian daripada tugasnya melibatkan usaha meyakinkan orang untuk menyerahkan pengganas lain.

"Orang akan berubah jika kita bercakap dengan mereka dan jika kita memberikan mereka hujah yang munasabah atau logik, saya rasa orang boleh berubah.

"Selepas saya memberikan mereka penjelasan mengenai pemahaman terhadap Islam dan apakah ajaran Islam yang sebenar, maka mereka ...bekerjasama dengan polis Indonesia," katanya

Bagaimanapun Nasir enggan mengulas mengenai dakwaan kumpulan hak asasi awam bahawa amalan itu serupa dengan satu bentuk seksaan.