Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijangka membawa usul di Dewan Rakyat untuk mewajibkan semua anggota parlimen, termasuk pihak pembangkang dan keluarga mereka mengisytiharkan pendapatan dan aset kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber kerajaan, usul itu akan dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada minggu hadapan. Dewan Rakyat dijadual bersidang dari 1 hingga 18 Julai ini.

Pada masa ini, hanya anggota parlimen PH dikehendaki mengisytiharkan aset dan pendapatan mereka kepada SPRM sebagai sebahagian daripada dasar yang tidak termaktub dalam undang-undang.

Pengisytiharan itu dibuat secara terbuka di laman web SPRM. 

Pada 18 Mac, Presiden PKR Anwar Ibrahim mendesak kerajaan menggubal undang-undang bagi mewajibkan pemimpin dan pegawai tinggi kerajaan mengisytiharkan harta mereka. 

"Saya menyarankan kerajaan menggubalkan undang-undang bagi mewajibkan pengisytiharan harta yang meliputi semua ahli parlimen, anggota jemaah menteri, ahli Dewan Negara, lantikan politik dalam kementerian, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi-agensi kerajaan pusat," katanya.

Pada 14 Mei, perdana menteri mengumumkan Pusat Governans Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) mencadangkan skop Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) termasuk pengisytiharan harta dimasukkan dalam petunjuk prestasi utama (KPI) menteri.

Beliau berkata semua menteri juga harus memastikan anggota pentadbiran di bawah kementerian masing-masing mengisytiharkan harta kepada SPRM. 

Bulan lalu, kaji selidik yang dijalankan USCI Poll Research Center antara 20 Mei dan 29 Mei mendapati 61.1 peratus daripada responden percaya pengisytiharan aset merupakan kaedah berkesan menangani rasuah.

Antara rang undang-undang lain yang dijangka dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat akan datang termasuk pindaan kepada Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan untuk meminda had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun, RUU Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), pemansuhan hukuman mati mandatori dan Pusat Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).