BERITA Malaysiakini

Dana 1MDB: Lembaga pengarah Kojadi terpecah dua?

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Sebelas daripada 14 ahli lembaga pengarah Koperasi Jayadiri Malaysia Berhad (Kojadi) menafikan dakwaan pengerusinya bahawa lembaga itu telah mengarahkan beliau menemui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Dalam satu kenyataan, 11 ahli lembaga berkenaan berkata mesyuarat semalam telah memutuskan untuk menulis surat kepada SPRM sebagai tindakan susulan dan membincangkan perkara itu dengan kepimpinan MCA.

"Semasa mesyuarat lembaga Kojadi semalam, tidak ada ketetapan bagi pengerusi Ng Peng Hay untuk menemui Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya atau mana-mana pegawai hari ini," kata 11 anggota tersebut.

Kojadi, yang dikendalikan oleh MCA, menyediakan pinjaman pelajar dan pembiayaan mikro untuk perniagaan. Ia menerima geran RM15 juta daripada Yayasan 1MDB pada tahun 2012 dan wang itu digunakan untuk skim pembiayaan mikro bagi golongan belia.

11 ahli lembaga itu berkata, dana berkenaan tidak ada kena mengena dengan akaun bank bekas Perdana Menteri Najib Razak, yang kini dalam penelitian SPRM.

SPRM memfailkan saman pelucuthakan sivil terhadap mereka yang menerima wang daripada akaun peribadi Najib di AmBank. Pihak berkuasa mendakwa dana 1MDB disalurkan ke akaun tersebut.

Menurut 11 ahli lembaga pengarah itu, Kojadi telah bekerjasama dengan SPRM sejak awal tahun ini.

Awal hari ini, Ng mengeluarkan kenyataan mendakwa beliau telah memanggil mesyuarat tergempar lembaga pengarah semalam bagi membincangkan rancangan untuk mengembalikan wang itu, susulan saman peluthakan oleh SPRM.

Menurut Ng, lembaga pengarah mengarahkan beliau mendekati SPRM hari ini untuk menjelaskan kedudukan Kojadi dan bagi mendapatkan panduan suruhanjaya itu.

Ng mendakwa Presiden MCA Wee Ka Siong campur tangan dan mengarahkan lembaga pengarah menghentikan mesyuarat itu. 

Wee juga didakwa mengarahkan ahli-ahli lembaga pengarah berdepan kepimpinan MCA pada 1 atau 2 Julai.

Ng berkata beliau meletak jawatan sebagai ahli MCA hari ini sebagai tanda protes dan akan memanggil mesyuarat lembaga lain tidak lama lagi untuk membentangkan semula cadangan mengembalikan wang berkenaan.

11 ahli lembaga pengarah itu mengesahkan bahawa Wee meminta pertemuan dengan lembaga itu pada minggu depan.

"Bagaimanapun, dia sama sekali tidak mengganggu perjalanan harian Kojadi. Sebaliknya, hasrat Wee untuk mengadakan perbincangan dengan lembaga pengarah mematuhi keputusan mesyuarat lembaga.

"Selain itu, MCA meletakkan dasar Kojadi lebih 30 tahun yang lalu, dengan itu kedua-duanya bertanggungjawab terhadap presiden MCA pada masa ini untuk menunjukkan keprihatinan kepada operasi Kojadi," kata 11 ahli lembaga pengarah.

Ahli lembaga berkenaan berkata Kojadi akan terus dikendalikan secara profesional dan telah terbukti menjadi koperasi yang berjaya.