Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid mahu nilai 'mood' ahli Umno dahulu
Diterbitkan:  Jun 29, 2019 8:21 PM
Dikemaskini: 12:21 PM

Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi sedang menilai respon akar umbi parti itu sebelum membuat keputusan untuk kembali menjalankan tugas selepas lebih 6 bulan bercuti.

Menurut sumber parti itu, ada desakan daripada ketua Umno bahagian yang mahukan Ahmad Zahid kembali menerajui parti.

"Namun, Ahmad Zahid tidak cepat melatah, beliau mahu melihat mood sokongan akar umbi parti terlebih dulu sebelum membuat sebarang keputusan mengenainya.

"Setakat ini timbalan presiden Umno, Mohamad Hasan berjaya menguruskan parti dengan baik.

"Sebab itulah, Ahmad Zahid mula turun merasmikan mesyuarat perwakilan Umno untuk melihat sendiri mood ahli Umno di peringkat akar umbi," katanya kepada Malaysiakini.

Ahmad Zahid membuat penampilan rasmi pertama di pentas Umno selepas lebih enam bulan berehat dengan merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Kepong pada 22 Jun lalu.

Sehari kemudian beliau hadir merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Masjid Tanah.

Pada 21 Jun, Mohamad yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan menengaskan Ahmad Zahid tidak disekat untuk merasmikan sebarang mesyuarat perwakilan Umno bahagian meskipun sedang bercuti.

Malah katanya sesiapa saja boleh datang untuk merasmikan mesyuarat parti itu di peringkat bahagian.

"Jemputan (datang) daripada bahagian, sesiapa sahaja boleh datang rasmi bahagian," kata Mohamad.

Dalam pada itu sumber berkata, Ahmad Zahid meletakkan kepentingan parti melebihi daripada individu.

Apatah lagi beliau kini berdepan banyak tuduhan yang dilihat sebagai usaha untuk melemahkan presiden Umno itu.

"Ada suara-suara yang mahu Ahmad Zahid kembali menguruskan parti sehingga pemilihan parti berlangsung.

"Mohamad boleh menawarkan diri untuk merebut jawatan presiden Umno.

"Namun, ada suara-suara dengan lantang menentang Ahmad Zahid untuk kembali, khususnya dari selatan tanah air," katanya.

Lihat Komen
ADS