Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin berkata beliau tidak menyalahkan keluarga Teoh Beng Hock dengan membangkitkan isu pampasan yang diterima mereka.

Muhyiddin berkata demikian susulan dakwaan Anggota Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh bahawa beliau memperkecilkan anggota keluarga Teoh dengan membangkitkan isu berkenaan.

“Beliau (Ramkarpal Singh) salah faham dengan kenyataannya sebelum ini yang mahu menyerahkan kepada peguam negara untuk membuat keputusan berhubung isu ini.

“Mungkin ada salah faham. Ada ke dengar saya katakan dan saya salahkan keluarga. Mungkin dia (Ramkarpal) tidak hadir, bahkan anggota keluarga sudah melalui proses yang panjang yang bermula daripada inkues dan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI),” kata Muhyiddin seperti dilapor Bernama.

Muhyiddin berkata kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Kelestarian Pertubuhan, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, di Kuala Lumpur hari ini.

Pada 26 Jun lalu, Muhyiddin dilapor berkata penyiasatan ke atas kematian Teoh telah selesai.

“Keluarga tidak puas hati walaupun sudah menerima bayaran pampasan, mereka tuntut lagi. Saya serah kepada peguam negara untuk buat keputusan sewajarnya,” katanya seperti dilapor.

Sementara itu, Muhyidin berkata Jabatan Peguam Negara dijangka mengeluarkan kenyataan berhubung siasatan kes kematian Teoh Beng Hock pada minggu depan.

“Saya serahkan siasatan kes ini kepada pihak Peguam Negara dan sebelum ini secara tidak rasmi beliau (Tommy Thomas) ada menghubungi saya dan akan mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung kes berkenaan.

“Peguam Negara lebih mengetahui perkara ini bagi menjelaskan tindakan pengklasifikasian semula kes kematian Teoh,” katanya

Teoh ditemui mati pada 16 Julai, 2009 di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 bangunan sama.

Mendiang ialah Setiausaha Politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ean Yong Hian Wah, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan ketika itu.