Cadangan pindaan perlembagaan Umno bukan bertujuan untuk menyingkirkan atau menjatuhkan mana-mana pemimpin, tegas Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

Beliau berkata Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sendiri sudah menetapkan peraturan bahawa mereka yang yang dijatuhi hukuman tidak boleh memegang jawatan atau bertanding.

"Jadi sudah jelas di situ Umno tidak perlu buat apa-apa pindaan, Umno akan ikut peraturan ROS juga.

“Jadi, tidak timbul soal kita nak gugurkan mana-mana pemimpin, tidak timbul soal kita nak singkir orang itu dan ini.

Kita tidak ada mana-mana kem, kita hanya ada satu kem iaitu kem Umno. Kita perlu terus berusaha perkasakan parti kita,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Mohamad berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Johor Bahru hari ini.

Terdahulu beliau diminta mengulas laporan bahawa pindaan perlembagaan Umno itu bertujuan untuk memastikan presidennya Ahmad Zahid Hamidi dan bekas presidennya, Najib Razak tidak boleh memegang sebarang jawatan dalam parti.

Zahid kini sedang menghadapi 87 tuduhan rasuah manakala Najib sedang menghadapi 42 pertuduhan.

Zahid, yang kini sedang bercuti daripada menjalankan tugas presiden Umno, dikatakan sedang mempertimbangkan untuk kembali aktif dalam parti itu.

Sebelum ini, Anggota Majlis Tertinggi Umno, Lokman Adam menolak cadangan meminda perlembagaan parti untuk menyingkirkan anggota yang didapati bersalah dalam kes rasuah atau jenayah

Lokman berkata, cadangan untuk membawa kes disiplin bagi siasatan dan pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga telah digugurkan.