Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Khairy: Keputusan Zahid untuk kembali perlu pandangan MT

Majis Tertinggi (MT) Umno perlu memberi pandangan sekiranya presiden parti itu, Dr Ahmad Zahid Hamidi ingin kembali menerajui Umno selepas lebih enam bulan bercuti.

Bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata demikian sebagai tidak menyetujui pendapat bekas presiden Umno, Najib Razak yang menyatakan bahawa Zahid bebas untuk kembali menerajui tanpa perlu mendapat persetujuan MT.

"Walaupun Najib (Razak) kata tak perlu bincang dalam MT sebab Zahid presiden, itu betul dari segi perlembagaan.

"Tapi dari segi moral perlu dibincang dalam mesyuarat MT, Zahid bercuti dan MT yang menjalankan tugas dan tidak adil jika MT tak ada pandangan.

"Untuk nyatakan semata-mata keputusan Zahid saya kurang setuju, sebab selama beberapa bulan termasuk tiga pilihan raya kecil (PRK) lepas kita memang di bawah Tok Mat (Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan) dan MT," katanya selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Sungai Buloh di Shah Alam, hari ini.

Hadir sama Ketua Umno bahagian Sungai Buloh, Megat Firdouz Megat Junid dan Yang Dipertua PAS kawasan Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad.

Malam tadi, Najib berkata Zahid boleh kembali menerajui parti jika dia mahu biarpun tanpa persetujuan pihak lain, termasuk ahli MT.

Kata Najib, keputusan sama ada Zahid mahu kembali atau pun tidak adalah terpulang sepenuhnya kepada presiden Umno itu sendiri.

“Soal kedudukan Ahmad Zahid, boleh diputuskan oleh Ahmad Zahid sendiri. Sebab dia bercuti atas keputusan yang dibuat secara peribadi dan sebagaimana yang kita tahu, mengikut perlembagaan Ahmad Zahid berhak untuk memimpin Umno dalam tempoh dia diberi mandat," kata Najib.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan bahawa Zahid kini sedang menilai respons daripada akar umbi parti sebelum membuat keputusan untuk kembali menjalankan tugas.

Sementara itu, Khairy yang juga merupakan ahli parlimen Rembau berkata Zahid perlu membuat keputusan yang jelas mengenai kedudukannya ketika ini.

"Saya rasa keputusan itu perlu dibuat oleh Zahid sendiri. Tidak boleh acah-acah. Sama ada betul-betul bercuti (atau tidak).

"Tidak boleh ada satu kaki dalam (Umno) satu kaki di luar. (Zahid) kena buat keputusan apa yang dia mahu," katanya lagi.

Khairy turut menegaskan bahawa Umno perlu menunjukkan perubahan seperti diharapkan dengan barisan kepemimpinan baru yang meyakinkan rakyat.

Beliau berkata, sudah tiba masanya Umno memberi ruang kepada mereka yang diperlukan untuk memimpin parti.

Lihat Komen
ADS