Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Abdul Azeez sedia serah kerusi pada PAS
Diterbitkan:  Jun 30, 2019 6:22 PM
Dikemaskini: 10:22 AM

Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim menyatakan kesediaan melepaskan kerusi yang disandangnya kepada PAS pada pilihan raya umum (PRU) ke-15 kelak.

Menurutnya, penyatuan ummah antara Umno dan PAS amat penting demi agama, bangsa dan tanah air dan bukan demi kepentingan mana-mana individu.

"PRU bila-bila masa, sama ada tiga tahun daripada sekarang, esok atau tahun depan. Saya yakin dan percaya rakyat sudah tahu siapa mereka ingin pilih.

"Saya sendiri, jika perlu korbankan diri saya demi rakyat pada masa depan berkenaan kerusi, saya rela, sanggup reda dan ikhlas," katan Abdul Azeez dipetik Sinar Online.

Pada PRU14, Abdul Azeez mempertahankan kerusi parlimen Baling dengan majoriti 1,074 undi menewaskan calon PAS dan Bersatu.

Penyandang parlimen Baling selama dua penggal itu turut mahu Kedah terutamanya di kawasannya menjadi model terbaik penyatuan ummah dan kerjasama PAS dan Umno dalam menghadapi PRU.

"Dengan izin Allah juga Kedah akan jadi satu negeri contoh.

"Saya juga melihat kerjasama antara PAS dan Umno sangat baik dengan menerima sambutan ahli yang memberangsangkan setiap kali program bersama dianjurkan.

“Saya yakin dan percaya ini petanda cukup baik kerana perpaduan ummah ini untuk agama, bangsa, agama dan tanah air," Abdul Azeez dilaporkan sebagai berkata.

Isu berkaitan penyerahan kerusi antara PAS dan Umno timbul selepas Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail dilaporkan membuat cabaran itu semalam.

Azan berkata Umno dan PAS perlu saling menyerahkan kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang dimenangi pembangkang bagi membuktikan keikhlasan kerjasama yang dicapai dan bukan sekadar retorik semata-mata.

Jelasnya, kegagalan berbuat demikian hanya membuktikan Umno dan PAS sekadar bersandiwara kepada penyokong dan seluruh rakyat Malaysia dan bukan berusaha murni ke arah ta’awun seperti yang dijanjikan.

Lihat Komen
ADS