Wanita Umno menyambut baik pengumuman Ahmad Zahid Hamidi untuk kembali bertugas sebagai presiden parti itu.

Ketuanya, Dr Noraini Ahmad berkata, selaku presiden yang dipilih Zahid mempunyai hak untuk menentukan tempoh bercuti yang dikehendaki.

"Kita (Wanita Umno) menerima keputusan presiden (Ahmad Zahid) untuk kembali bertugas.

"Lagipun semasa umum bercuti, beliau tidak memaklumkan tempoh dan masa," katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Katanya lagi, anggota parlimen Bagan Datuk itu dipilih sebagai presiden Umno untuk tempoh 2021 selepas memenangi pemilihan yang diadakan tahun lalu itu.

Zahid semalam mengumumkan kembali bertugas sebagai presiden Umno, selepas bercuti selama kira-kira enam bulan.

Beliau membuat keputusan itu genap setahun sejak dipilih sebagai presiden dalam pemilihan Umno pada 2018.

Timbalan presiden Mohamad Hasan memangku jawatan sebagai presiden sejak ketiadaan Zahid dan mengukuhkan kerjasama dengan PAS, serta membantu kemenangan BN pada pilihan kecil di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau.

Mohamad semalam berkata keputusan Zahid untuk kembali menyambung tugas akan mematikan cakap-cakap yang selama ini diada-adakan untuk mengadu domba pemimpin Umno.