Malaysiakini
BERITA

Mat Hasan: Kepulangan Zahid tutup mulut pengadu domba

Shakira Buang

Diterbitkan
Dikemaskini 30 Jun 2019, 12:50 tengahari

Keputusan Ahmad Zahid Hamidi untuk kembali menyambung tugas sebagai presiden Umno hari ini disambut baik timbalannya yang sebelum ini menjalankan tugas presiden, Mohamad Hasan.

Mohamad berkata kepulangan Zahid dapat menutup mulut pihak yang menurutnya menjadi cuba melaga-lagakan kepimpinan parti Itu.

“Elok juga dia (Zahid) buat keputusan untuk hendak kembali. Kerana banyak sangat cakap-cakap, maka tidak elok.

“Jadi, beliau hendak kembali menjalankan tugas alhamdulillah. Ia akan mematikan cakap-cakap yang selama ini diada-adakan untuk mengadu domba pemimpin,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Sepang di Sepang, hari ini.

Mohamad berkata demikian mengulas pengumuman Zahid yang kembali sebagai presiden parti hari ini.

Beliau yang menyerahkan tugas presiden kepada timbalannya Mohamad Hasan pada Disember lalu membuat pengumuman itu di acara Hari Raya Aidilfitri di Bagan Datuk, Perak hari ini.

Zahid mengumumkan bercuti daripada menjalankan tugas pada 18 Disember lalu ketika desakan agar beliau meletakkan jawatan.

Ia susulan tindakan beberapa anggota parlimen Umno keluar parti serta kritikan bahawa Umno tiada hala tuju di bawah pimpinannya.

Sepanjang memangku jawatan presiden, Mohamad dilihat mengambil pendekatan diplomasi tetapi penyokongnya kritikal terhadap bekas timbalan perdana menteri itu.

Bulan lalu, Ketua Umno Bahagian Tebrau Maulizan Bujang mengkritik sesetengah pihak dalam parti itu yang menurutnya berusaha untuk membawa Zahid kembali menjalankan tugas sebagai presiden.

Beliau malah berpandangan agar Zahid melepaskan Umno kerana parti itu mula stabil dan kembali meraih sokongan di bawah kepimpinan Mohamad.

Beberapa jam sebelum pengumuman Zahid pula, bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata Zahid perlu meminta pandangan Majlis Tertinggi parti terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

"Tapi dari segi moral perlu dibincang dalam mesyuarat MT, Zahid bercuti dan MT yang menjalankan tugas dan tidak adil jika MT tak ada pandangan," katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata Zahid memang perlu menamatkan cutinya kerana Umno perlu diuruskan secara bersama.

“Kita dapat meneruskan agenda memperkasakan parti serta menyusun strategi menghadapi pilihan raya umum ke 15 (PRU),” katanya.

Ditanya sama ada perkembangan itu akan mejejaskan usaha yang telah dilakukannya untuk Umno, Mohamad berkata ia tidak mengganggu proses penstrukturan semula parti yang dijalankannya.

Katanya, beliau menjalankan tugas presiden atas asas persetujuan bersama dan kerjasama Majlis Tertinggi (MT).

“Tiada apa-apa kelainan. Tidak ada isu saya buat benda yang lain dan susahkan Zahid untuk kembali. Bahkan saya alu-alukan dia kembali,” katanya lagi.

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.