Konflik AS-Iraq: Keselamatan jemaah haji Malaysia terjamin
PARLIMEN l Kerajaan Malaysia akan bekerjasama dengan kerajaan Arab Saudi bagi memastikan keselamatan jemaah haji Malaysia terjamin berikutan ketegangan di Timur Tengah melibatkan Iran dan Amerika Syarikat (AS).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata dalam soal ini, pihak Tabung Haji (TH) sentiasa berurusan dengan pihak keselamatan Arab Saudi.
"Ini kerana apabila jemaah haji berada di bumi Makkah, ia di bawah (bidang) kuasa (pihak) keselamatan Arab Saudi dan sudah tentulah mereka mempunyai obligasi yang tinggi dan tanggungjawab bagi menjamin keselamatan jemaah haji seluruh dunia termasuk jemaah haji Malaysia," katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) mengenai jaminan kerajaan berhubung keselamatan jemaah haji Malaysia berikutan perkembangan di rantau itu.
AS dilapor telah menggerakkan pesawat F-22 (stealth fighters) ke Timur Tengah susulan tindakan Iran baru-baru ini menembak jatuh dron milik AS. Iran mendakwa ketika kejadian, dron itu berada di ruang udaranya namun Washington pula berkata ia berada di ruang udara antarabangsa.
Jemaah haji Malaysia dijadual berlepas mulai 4 Julai hingga 4 Ogos ini menerusi 62 penerbangan sewa khas.
Menjawab soalan tambahan Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) berkaitan TH, Mujahid menegaskan kerajaan PH tidak pernah memanipulasi atau mengamalkan perakaunan kreatif dalam pengurusan TH.
"Saya ingin menyebut di sini bahawa yang memanipulasi dan segala perakaunan kreatif itu bukan daripada kami (PH) tetapi disebabkan mereka (pembangkang), kami terpaksa buat (pelan baik pulih) semua ini," katanya.
Dalam pada itu, Mujahid berkata kedudukan kewangan TH mencatat prestasi mampan pada suku pertama 2019, hasil kejayaan proses penstrukturan dan pemulihan yang dilaksana pada akhir Disember 2018.
Beliau berkata pada suku pertama 2019, TH memperoleh pendapatan berjumlah RM623 juta dan mencatat keuntungan bersih RM440 juta.
"Pendapatan TH dijangka terus meningkat mulai suku kedua dengan penerbitan sukuk oleh SPV (Syarikat Tujuan Khas) yang akan memberi pulangan hampir RM800 juta setahun dan pelaksanaan proses pelarasan pelaburan baharu," katanya.
- Bernama

