Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isytihar aset: MP boleh dipenjarakan jika beri maklumat palsu

PARLIMEN l Ahli parlimen yang memberikan maklumat palsu ketika mengisytiharkan aset masing-masing boleh menghadapi hukuman penjara tiga tahun mengikut usul yang dibentangkan oleh kerajaan hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong ketika membentangkan usul itu berkata, undang-undang berkenaan akan memaksa setiap wakil rakyat untuk mengisytiharkan aset mereka kepada SPRM.

Usul itu dibentangkan mengikut Peraturan Mesyuarat 27 (3) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Liew berkata Ahli Parlimen yang didapati memberikan perisytiharan tidak benar akan tertakluk kepada Seksyen 199 Kanun Keseksaan, dan boleh dihukum mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda.

Seksyen 199 adalah mengenai individu, termasuk kakitangan awam, yang dengan sengaja memberi kenyataan palsu yang dibuat dalam sesuatu akuan yang boleh diterima di sisi undang-undang sebagai keterangan.

Kerajaan mengambil maklum bahawa setakat ini tiada undang-undang yang mewajibkan ahli parlimen untuk mengisytiharkan harta. Atas faktor ini, maka kerajaan berpendirian bahawa usul yang dikemukakan ini adalah satucara yang paling baik dalam menguatkuasakan tindakan mewajibkan ahli parlimen untuk mengisytiharkan harta.

“Memandangkan usul ini merupakan suatu ketetapan Dewan yang akan mengikat semua ahli Dewan Rakyat maka sekiranya terdapat ketidakpatuhan kepada arahan tersebut, Yang Berhormat berkenaan bolehlah dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan di bawah Peraturan Mesyuarat 80 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat kerana melanggar hak dan keistimewaan Majlis,” kata Liew.

Menteri itu berkata jika terdapat ahli dewan yang membuat akuan palsu maka ahli tersebut adalah tertakluk kepada seksyen 3 Akta 783 dan seksyen 199 Kanun Keseksaan.

Usul yang dibentangkan hari ini mewajibkan semua ahli parlimen untuk mengisytiharkan aset masing-masing kepada SPRM dalam masa tiga bulan dari tarikh ia diluluskan. Perisytiharaan itu akan diterbitkan di laman web SPRM.

“Kerajaan juga berpendapat bahawa usaha kerajaan perangi rasuah ini bukan sahaja berkaitan dengan tindakan pencegahan dan hukuman tetapi juga membabitkan isu perspektif rakyat iaitu usaha tersebut mestilah dapat dilihat atau disedari oleh rakyat, dengan izin: must not only be done, but seen to be done,” katanya.

Beliau berkata memandangkan bahawa perisytiharan harta ini telahpun dilaksanakan oleh

pihak kerajaan, termasuk kepada anggota pentadbiran dan ahli parlimen Pakatan Harapan, maka ia juga perlu diperluaskan kepada pihak pembangkang.

Perisytiharan itu akan dikenakan kepada semua ahli parlimen, pasangan mereka, anak-anak yang berumur 21 tahun ke bawah, serta semua pemegang amanah berkaitan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS