Jepun teruskan kegiatan tangkap paus secara komersil
GLOBAL l Jepun pada Isnin akan meneruskan kembali kegiatan menangkap ikan paus secara komersil, meskipun menerima kritikan pihak anti-paus dan kumpulan alam sekitar, lapor agensi berita Xinhua.
Sebelum ini, pada Ahad Jepun memutuskan untuk menarik diri daripada Suruhanjaya Paus Antarabangsa (IWC).
Pengunduran Jepun dari IWC pertama kali terjadi dalam sejarah pasca perangnya dan selama ini melobi untuk memulakan aktiviti menangkap paus secara komersil selepas hampir 30 tahun.
September lalu, mesyuarat tahunan IWC menolak cadangan Jepun itu, menyebabkan negara berkenaan mengancam menarik diri daripada organisasi antarabangsa terbabit.
Pada Isnin beberapa kapal penangkap paus Jepun bersedia untuk meninggalkan bandar pelabuhan barat Shimonoseki, wilayah Yamaguchi.
Di utara bandar Kushiro, wilayah Hokkaido pula sebanyak lima kapal merancang untuk ke perairan berdekatan.
Menurut kerajaan Jepun, aktiviti menangkap paus komersil hanya akan dilakukan di perairannya dan di zon ekonomi eksklusif mengikut kuota dan kaedah yang diguna pakai IWC.
- Bernama

