'Pegawai LHDN ugut tembak pensyarah' - Menteri diminta siasat serbuan ala 'gangster'
Sebuah kolej swasta yang berpangkalan di ibu kota meminta Menteri Kewangan Lim Guan Eng campur tangan berkenaan insiden melibatkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang didakwa membuat serbuan ala 'gangster' di kolej tersebut.
Menurut jurucakap kolej itu, Matim Md Mahmudul, bekas menteri kanan kemungkinan dalang di sebalik insiden yang terjadi tahun lalu ketika di bawah pentadbiran BN.
Mengimbas insiden berkenaan, Matim mendakwa, pegawai LHDN mengugut untuk menembak pensyarah, mengurung pelajar di bilik untuk beberapa jam dan cuba memujuk kseorang pembantu rumah untuk mengaku mempunyai hubungan sulit dengan pemilik kolej.
“Akibatnya, kolej kami rugi berjuta kerana pendaftaran pelajar baru terjejas teruk sehingga 90% pada dua sesi pengambilan pelajar,” katanya kepada Malaysiakini.
Matim mendakwa bahawa pensyarah warganegara India Dr Gurpreet Singh diberi amaran akan ditembak jika enggan menandatangani dokumen tertentu bagi pihak kolej meskipun dia tidak dibenarkan berbuat demikian.
Bercakap kepada Malaysiakini, Gurpreet mengesahkan bahawa individu yang mengetuai serbuan berkenaan, yang didakwa Matim sebagai pengarah LHDN, mengugut untuk menembaknya.
"Ya, dia (individu yang mengetuai serbuan) mengugut tembak saya jika saya tidak tandatangan meskipun saya beritahu mereka bahawa saya tidak ada kuasa untuk tandatangan bagi pihak kolej," katanya.
Gurpreet yang sudah kembali ke India berkata Suruhanjaya Tinggi India di Malaysia sudah memfailkan aduan rasmi kepada 10 jabatan kerajaan, termasuk Pejabat Perdana Menteri, SPRM, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kewangan berhubung kejadian itu.
Rakaman CCTV dipadam
Sementara itu, Matim mendakwa bahawa serbuan pukul 11 pagi itu, yang melibatkan kira-kira 50 pegawai SPRM, polis dan pegawai DBKL, dijalankan serentak di 14 premis yang dikaitkan dengan kolej berkenaan.
Matim juga mendakwa bahawa pasukan serbuan mengunci pelajar yang berada di premis kolej selama tiga jam dan memaklumkan pelajar bahawa operasi kolej akan dihentikan keesokan hari.
“Ini sesuatu sangat pelik. Kami menghormati LHDN untuk mengadakan sebarang serbuan. Tapi, kenapa perlu mengunci dan mengugut pelajar?" soal Matim.
Matim juga mendakwa pegawai LHDN mengugut seorang pembantu rumah pemilik kolej.
“Di kediaman pemilik rumah, pembantunya diugut untuk mengakui bahawa mempunyai hubungan sulit dengan pemilik kolej.
"Lebih mengejutkan lagi, pegawai LHDN yang mengugut wanita tersebut yang tidak berpelajaran, bahawa beliau sedia mengambil ujian DNA untuk membuktikan bahawa mempunyai hubungan sulit dengan pemilik kolej.
“Persoalannya, apa kena mengena dengan hubungan sulit pembantu dengan serbuan LHDN?” tanya Matim lagi.
Matim berkata pembantu rumah itu enggan menurut ugutan itu dan membuat laporan melalui Suruhanjaya Tinggi India selepas pulang ke India.
Selain itu, lebih 50 rakaman litar tertutup (CCTV) dikatakan dirampas dari kolej berkenaan namun dipulangkan semula selepas rakaman dipadam.
Matim berkata laporan polis sudah dibuat berhubung pemadaman rakaman CCTV itu.
Selain memohon agar Lim memberi arahan rasmi untuk siasat dakwaan kejadian itu, Matim juga mendakwa bahawa menteri BN berkenaan disyaki merupakan individu di sebalik kejadian yang mahu kolej itu ditutup bagi memberi 'nyawa' kepada institusi pendidikan lain.
Ketika dihubungi, Ketua Pengarah LHDN Sabin Samitha enggan mengulas perkara berkenaan.
"Saya berterima kasih dengan maklumat yang diberikan.
"Namun, selari dengan Seksyen 138 Akta Cukai Pendapatan, LHDN tidak boleh mendedahkan maklumat pembayar cukai kepada pihak lain," katanya kepada Malaysiakini.

