Seramai 227 Orang Asli suku Bateq di Kuala Koh dan Aring 5, Gua Musang menerima suntikan vaksin, bermula hari ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin berkata, langkah memulakan pemberian vaksin itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) sebagai usaha menyelamatkan mereka daripada terus terdedah dengan sebarang jangkitan termasuk wabak measles atau demam campak.

Menurut beliau, pemberian vaksin itu membabitkan 60 Orang Asli suku Bateq yang masih berada di Kampung Kuala Koh dan 167 suku Bateq di penempatan Felda Aring 5 selepas penduduk kawasan terbabit diserang penyakit itu.

"Vaksin diberikan di penempatan mereka dan langkah itu masih lagi berterusan sehingga malam ini dan pihak jabatan akan mengumpulkan data setiap hari bagi memastikan kesemua Orang Asli suku Bateq menerima vaksin ini.

"Selain itu, penduduk suku Bateq yang berada di RIKA (Rumah Inap Komuniti Asli), Pusat Latihan Khidmat Negara dan Hospital Gua Musang dan Hospital Kuala Krai juga akan menerima suntikan,” katanya dalam kenyataan kepada media di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Sejak awal Mei lalu, 15 suku Bateq di Kampung Kuala Koh dilaporkan meninggal dunia susulan krisis kesihatan yang melanda penempatan mereka.

Malah 115 penduduk terpaksa menerima rawatan susulan di hospital termasuk dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi.

Mangsa yang meninggal dunia ialab Meknab Tebu, 63, Jais Keladi, 55, Romi Hamdan, 29, Leha Hamdan, 26, Haika Rahim, 22, Poja Jong, 21, Farah Rahim, 20, Fayah Papan, 20, Safia Papan, 18, Din Hamdan, 18, Puspa Lie, 5, Nasri Rosli, 3, Mohd. Saleh Khaizan, 1, Amir Lie, 1, dan Jelik Jong (usia tak dikenal pasti).

Sementara itu Dr Zaini berkata, pada permulaan ini pihak jabatan menumpukan pemberian vaksin kepada komuniti orang asli suku Bateq di Gua Musang terlebih dahulu sebelum diberikan pula kepada penduduk setempat lain.

"Kampung yang terlibat ini membabitkan suku Bateq tetapi ada juga masyarakat setempat yang berada di kawasan sekitar.

"Vaksin untuk mereka akan diberikan selepas selesai memberi vaksin kepada komuniti orang asli.

"Kami melakukan langkah ini secara berperingkat-peringkat sehingga dapat dipastikan kesemua Orang Asli suku Bateq menerima vaksin termasuk golongan kanak-kanak yang tinggal di Kuala Koh," katanya.

Tambah beliau, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan juga menjangkakan zon merah kawasan perkampungan Kuala Koh akan diisytihar bebas sekitar dua minggu lagi.

"Kami akan terus memantau keadaan penduduk dan wabak itu, tetapi kalau trend seperti sekarang yang menunjukkan pengurangan kes, Insya-Allah dalam masa dua minggu kita akan kaji untuk diisytihar sebagai kawasan bebas," katanya.