Felda yakin Bakke angkat martabat peneroka
Seluruh warga Felda meletakkan sepenuh kepercayaan terhadap Mohd Bakke Salleh bagi mengangkat martabat peneroka dan menjamin kelestarian agensi itu.
Felda dalam satu kenyataan hari ini mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Mohd Bakke atas pelantikannya sebagai pengerusi baru agensi terbabit yang berkuatkuasa hari ini dan mengalu-alukan kehadiran beliau.
"Dengan pengalaman lebih 35 tahun dalam bidang hartanah, kewangan dan perladangan, beliau pernah berkhidmat sebagai pengarah Bahagian Hartanah Pengurusan Danaharta Nasional Berhad dari 1999 hingga 2001.
"Beliau kemudian dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif Lembaga Tabung Haji bermula 2001 hingga 2005 dan selepas itu dipertanggungjawabkan sebagai pengarah urusan Kumpulan Felda Holdings Berhad dan ketua pegawai eksekutif Kumpulan Felda Global Ventures Holdings Berhad,” menurut kenyataan itu.
Mohd Bakke juga merupakan anggota Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dari 2004 hingga 2010 dan dilantik sebagai presiden dan ketua eksekutif Kumpulan Sime Darby Berhad pada 2010 hingga 2017.
Sementara itu, Felda turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada bekas pengerusinya, Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor, atas perkhidmatan cemerlang beliau termasuk pelaksanaan beberapa inisiatif pelan transformasi demi kebajikan sosioekonomi warga peneroka.
"Beliau telah menyumbang idea bernas dan memberi komitmen penuh dalam melengkapkan Kertas Putih Felda demi menjamin masa depan peneroka,” kata kenyataan itu.
Pada 26 Jun lepas, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali mengumumkan pelantikan itu untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Julai 2019 sehingga 30 Jun 2021.
- Bernama

