Pemimpin Hong Kong kutuk tindakan ganas perusuh
GLOBAL l Pemerintah Wilayah Pentadbiran Khusus Hong Kong (HKSAR) pada Isnin mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ganas beberapa penunjuk perasaan ketika menyerbu Kompleks Majlis Perundangan (LegCo), lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan seorang jurucakap kerajaan.
Menurut jurucakap itu, HKSAR amat mengesali perbuatan ganas yang dilakukan penunjuk perasaan terbabit yang telah menggunakan troli barang untuk memecahkan pintu kaca kompleks tersebut.
“Hong Kong adalah sebuah masyarakat yang menghormati kedaulatan undang-undang dan tidak pernah bertolak ansur dengan keganasan.
"Penunjuk perasaan yang melakukan keganasan harus menghentikan perbuatan mereka dengan segera. Pihak polis akan mengambil tindakan penguatkuasaan sewajarnya bagi melindungi ketenteraman awam dan keselamatan,” katanya.

Presiden LegCo Andrew Leung Kwan-yuen, melalui seorang jurucakap, mengutuk sekeras-kerasnya pihak yang bertindak menyerbu Kompleks LegCo secara ganas.
Leung berkata beliau amat sedih dan kesal dengan tindakan beberapa penunjuk perasaan yang menggunakan kaedah ganas untuk menyerbu Kompleks LegCo sehingga menyebabkan kerosakan teruk di kebanyakan bahagian bangunan itu.
Polis Hong Kong berkata sekumpulan penunjuk perasaan telah bertindak menyerbu Kompleks LegCo secara ganas dan melempar serbuk berbahaya ke arah anggota polis di lokasi kejadian.
Polis mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan itu dan akan menjalankan siasatan yang menyeluruh serta menindaklanjuti kes itu dengan kaedah ketat.
Sejumlah 42 anggota LegCo yang menyokong kerajaan telah mengeluarkan satu kenyataan bersama mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ganas dan radikal sesetengah penunjuk perasaan.
Mereka menyifatkan penunjuk perasaan terbabit sengaja menimbulkan kekacauan, mengganggu ketenteraman awam dan mencabar kedaulatan undang-undang.

Pakatan Demokratik bagi Kebaikan dan Kemajuan Hong Kong (DAB) pula menyifatkan tindakan ganas itu bukan sahaja menjejaskan susunan sosial dan kedaulatan undang-undang, tetapi juga menyimpang sepenuhnya daripada hak untuk menyuarakan pandangan secara aman yang dibenarkan Undang-Undang Asas HKSAR.
Pakatan Perniagaan dan Profesional Hong Kong (BPA) dalam satu kenyataan menyebut bahawa ia menyelar perbuatan melampau yang menjejaskan kedaulatan undang-undang di Hong Kong dan menyokong pihak polis dalam usaha mengheret pelaku ke muka pengadilan.
- Bernama

