Perak tutup ladang khinzir gagal laksana MPF mulai 2022
Kerajaan Negeri Perak akan menutup operasi ladang khinzir yang gagal melaksanakan sistem Penternakan Khinzir secara Moden (MPF) selepas 31 Dis 2021.
Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A. Sivanesan berkata setakat ini sebanyak 16 daripada 109 ladang penternakan khinzir di negeri ini telah memulakan sistem MPF, 44 dalam proses, manakala selebihnya belum melaksanakannya.
"Sistem MPF iaitu kaedah kandang tertutup diwujudkan bagi mengawal selia aktiviti perladangan khinzir untuk menangani isu dan masalah seperti pencemaran udara, bau dan makhluk perosak selain memudahkan kawalan wabak penyakit," katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perladangan Babi Negeri Perak (Bipartisan) berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Roadshow Ke Arah 'Modern Pig Farming' di sini hari ini. Turut hadir Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak Dr Ahmad Shafri Hassan.
Sivanesan berkata Kerajaan Negeri bekerjasama penuh bersama JPV bagi memastikan MPF berjaya dilaksanakan dalam tempoh lanjutan sehingga 31 Dis sebelum penguatkuasaan sepenuhnya dijalankan bermula 1 Jan 2022.
Beliau berkata, kerajaan negeri telah mengambil kira pandangan semua pihak dan menetapkan hanya ladang khinzir yang menerima dan mematuhi pendekatan MPF sahaja akan dibenarkan untuk terus beroperasi.
Selain itu, kerajaan negeri akan menuntut semula tanah miliknya yang sebelum ini berstatus pertanian tetapi digunakan untuk aktiviti penternakan babi, kata beliau.
"Kerajaan Negeri tidak memperoleh hasil daripada penggunaan tanah tersebut dan akan menuntut semula tanah berkenaan susulan ia berstatus pertanian tetapi menjalankan aktiviti penternakan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Sivanesan yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungkai berkata, sebuah premis kilang di Sungkai yang dipercayai memproses plastik import didapati gagal mematuhi peraturan-peraturan alam sekitar yang ditetapkan.
Katanya perkara itu dikesan semasa beliau bersama Majlis Daerah Tapah dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membuat lawatan mengejut ke kilang itu, semalam.
Beliau berkata pemeriksaan mendapati kawasan di sekitar kilang terutama di bahagian belakang dicemari kotoran selain berbau busuk dan pihak JPS telah mengambil sampel air sungai di kawasan itu untuk melakukan ujian.
- Bernama

