Aktivis alam sekitar tak ganjak walau disimbah cat merah
Aktivis Pua Lay Peng berang dan kecewa dengan serangan cat merah ke atas kakaknya dan rumahnya di Kuala Langat tetapi bertekad tidak akan berganjak mempertahankan alam sekitar.
"Saya berasa marah, takut dan simpati terhadap kakak saya yang disimbah hampir satu liter cat merah.
“Tetapi saya ikrar saya kekal sebagai seorang aktivis hingga nafas terakhir saya. Kehilangan kesihatan kita bermakna kita hilang segala-galanya," katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Pua adalah aktivis dengan Kumpulan Bertindak Alam Sekitar Kuala Langat dan lantang membidas tapak pelupusan plastik haram di sekitar Jenjarom.
Dia tidak berada di rumah semasa kejadian pada Rabu, 26 Jun lalu, apabila seorang lelaki memasuki perkarangan rumahnya dan menyimbah cat merah di pintu depan.
Seluruh tubuh kakaknya pula disimbah cat semasa serangan itu.
Pua, yang mendapat latihan dalam bidang kimia, lantang mengenai pelupusan plastik secara haram sejak awal tahun 2018 apabila dia mendapati sisa plastik pada tumbuh-tumbuhan di sekitar Jenjarom.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Persekutuan (CID), Huzir Mohamed mengesahkan empat suspek ditahan semasa serbuan di sebuah rumah di Damansara semalam.
Sebuah kereta, pedang samurai, dan telefon bimbit yang digunakan untuk merakamkan jenayah itu, berserta sepaket dadah yang dipercayai syabu turut dirampas.
Tiga daripada empat suspek berkenaan mengakui terlibat dalam serangan itu, dan juga mempunyai kaitan dengan Geng 24. Mereka turut mengakui menerima sejumlah wang untuk melakukan serangan itu.
Pua menyatakan penghargaannya kepada polis kerana mengambil tindakan pantas.
"Teruskan usaha yang baik! Saya sangat menghargainya dan berharap mereka dapat menangkap dalangnya (di belakang serangan ini). Kami akan meningkatkan tindakan untuk melindungi keselamatan kami.
Ditanya mengapa dia begitu yakin bahawa dia menjadi sasaran serangan itu, Pua berkata: "ini kerana keluarga saya tidak mempunyai hutang dengan Ah Long dan mereka menyimbah cat itu ke ahli keluarga saya."
"Ini merupakan satu ancaman dan amaran. Siasatan dari polis juga menunjukkan kes berkaitan dengan isu-isu alam sekitar yang saya terlibat baru-baru ini."
Pua berikrar dia tidak akan berganjar di sebalik berdepan ugutan tersebut.

