Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Sehari selepas Dewan Rakyat meluluskan usul mewajibkan anggota parlimen mengisytiharkan harta masing-masing, Pusat Governans, Integriti dan AntiRasuah Nasional (GIACC) hari ini membuka kaunter penerangan dan perisytiharan pendapatan serta aset di lobi parlimen.

Penasihat Undang-undang GIACC, A Kalai Vani, berkata inisiatif itu dibuat untuk memberi penerangan kepada anggota parlimen kerajaan dan pembangkang mengenai prosedur yang diperlukan untuk mereka membuat pengisytiharan pendapatan dan aset.

“Kaunter ini dibuka di pintu masuk ruang makan ahli parlimen, bermula hari pertama perbahasan Dewan Rakyat iaitu semalam dan sehingga esok.

"Kemudian kami akan datang semula pada hari terakhir sesi parlimen kali ini iaitu pada 18 Julai ini,” katanya hari ini.

Kalai Vani memberitahu, kaunter GIACC itu juga sedia membantu mana-mana anggota parlimen yang sudah bersedia mengisytiharkan harta masingmasing.

“Kami buat sesi penerangan, dan boleh saja kalau mereka nak terus isytihar.

"Ahli Parlimen perlu isi borang dan kemukakan akuan bersumpah dengan satu salinan untuk speaker Dewan Rakyat dan satu lagi untuk Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) .

“Pengisytiharan ini melibatkan harta beralih - seperti kereta dan saham - serta harta tak beralih membabitkan bangunan dan rumah. Dalam bahasa lebih mudah, semua aset atas nama milik mereka,” ujarnya.

Kalai Vani menambah kebanyakan anggota parlimen yang singgah di kaunter GIACC setakat hari ini terdiri daripada wakil pembangkang.

Katanya mereka bertanya untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan tujuan pengisytiharan harta itu.


Lihat Komen
ADS