Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dikaitkan kilang IOI Pasir Gudang, Yeo ikrar ambil tindakan undang-undang
Diterbitkan:  Jul 2, 2019 9:35 PM
Dikemaskini: 1:35 PM

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berikrar untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang menyebarkan imej di media sosial mengaitkannya dengan kilang kimia 101 Group di Pasir Gudang.

Dalam kenyataan di Facebook, Yeo berkata dakwaan itu merupakan penghinaan kepada ratusan penjawat awam pelbagai agensi yang terlibat menangani gangguan kesihatan di daerah itu.

"Mereka bertungkus-lumus siang dan malam tanpa mengenal penat lelah untuk mengambil bacaan parameter dan menganalisis data untuk mencari punca insiden ini.

"Tindakan mereka mempolitikkan insiden ini adalah sesuatu yang jijik dan keji kerana tidak mengambil kira perasaan dan trauma yang dialami oleh ibu bapa dan kanak-kanak yang menerima kesan daripada situasi ini.

"Saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap semua yang menyebarkan fitnah dan menyalahgunakan kebebasan bersuara," katanya.

Imej itu memaparkan wajah Yeo dan suaminya Lee Yeow Seng, yang merupakan ketua pegawai eksekutif IOI Properties Group.

Lee ialah anak lelaki kepada bekas pengerusi eksekutif OIO Grioup, Lee Shin Cheng yang meninggal dunia 3 Jun lalu.

Imej itu diiringi dakwaan bahawa suami Yeo memiliki tiga kilang kimia di Pasir Gudang dan bertanya: "Kenapa kerajaan lambat bertindak?"

Tiga kilang itu ialah IOI Pan Century Oleochemicals, IOI Lipid Enzymetec, and IOI Pan Century Edible Oil yang terletak di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang.

Daerah itu kini berdepan masalah melibatkan kesukaran pernafasan. Namun tidak seperti insiden Sungai Kim Kim pada Mac lalu, punca masalah masih belum dipastikan.

Yeo sebelum ini berkata kerajaan tidak akan meluluskan sebarang permohonan untuk membina kilang kimia baru di situ.

Lihat Komen
ADS