Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiga lagi kilang di Pasir Gudang ditutup sementara
Diterbitkan:  Jul 2, 2019 9:50 PM
Dikemaskini: 2:13 PM

Tiga lagi perintah tahan operasi dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor serta-merta terhadap tiga kilang kerana didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, semalam.

Mengesahkan perkara itu, pengarahnya Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata ketiga-tiga kilang berkenaan didapati membuat kesalahan yang termaktub di bawah akta berkenaan.

“Ya, kesalahan tidak mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974. Bagaimanapun, kesalahan bukan berkaitan melepaskan gas berbau,” kata beliau ketika dihubungi Bernama di Johor Bahru hari ini.

Menurut beliau, operasi selama beberapa hari ini memang menumpukan kepada kilang kimia dan kilang yang menggunakan bahan kimia serta kilang yang menghasilkan buangan toksik dan berbahaya.

“Sehingga semalam, 90 kilang telah diperiksa dalam operasi ini,” katanya lagi.

Dengan perintah tahan operasi terbaru menjadikan enam kilang kini telah ditahan operasi.

Pada 27 Jun lepas, tiga perintah tahan operasi dikeluarkan oleh JAS Johor serta-merta kepada tiga kilang kimia di Pasir Gudang kerana didapati berpotensi menyebabkan pencemaran udara.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Johor Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata sehingga hari ini, JAS turut mengeluarkan sebanyak 61 kompaun untuk buangan terjadual, 10 kompaun untuk efluen perindustrian, empat notis arahan selain enam perintah tahan operasi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS