Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri nafi lari dari jawab soalan di Dewan Rakyat

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub, menafikan dakwaan beliau "lari" daripada menjawab soalan yang dikemukakan kepadanya di Dewan Rakyat hari ini.

Sebaliknya kata Salahuddin, timbalan beliau Sim Tze Tzin sudah ditugaskan untuk menjawab soalan tersebut.

Kata Salahuddin, sekiranya terdapat lebih daripada satu soalan berkaitan kementerian mereka pada sesi soal jawab lisan, Sim akan memberikan maklum balas.

Menurut anggota parlimen Pulai itu ia ketetapan itu bukan baru diputuskan hari ini tetapi sudah menjadi amalan yang biasa buat kementerian terbabit.

“Memang kami sudah putuskan, jika ada dua soalan atau lebih, timbalan menteri akan bantu jawab bersama saya.

“Ia adalah proses biasa, tak timbul isu saya cuba lari daripada menjawab soalan di Dewan Rakyat," katanya.

Terdahulu Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) mendakwa Salahuddin sengaja mengelak daripada menjawab soalan yang dikemukakan.

Sudah ada persefahaman

Tajuddin juga mendakwa Timbalan Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming, berpihak kepada kerajaan semasa mengendalikan sidang.

Dakwaan Tajuddin itu menyebabkan sidang Dewan Rakyat kecoh dan berlaku pertikaman lidah di antara beliau dan Timbalan Speaker, Nga Kor Ming.

Ketidapuasan hati Tajuddin memuncak apabila Kor Ming menyifatkan tindakannya itu tidak senonoh dan tidak bertanggungjawab walaupun sudah diberikan masa secukupnya untuk bertanyakan soalan.

"Pasir Salak sengaja mengundang kekecohan, inilah sikap beliau yang tidak bertanggungjawab, yang menghina majlis dan inilah teladan buruk yang kita jangan pelajari,” katanya sebelum membacakan Peraturan Mesyuarat 44(2), bagi menghalau Tajuddin keluar daripada mesyuarat.

Tajuddin kemudian digantung selama empat hari.

Kata Salahuddin seseorang menteri perlu memberi peluang kepada timbalan masing-masing menjawab soalan dibangkitkan di parlimen.

"Itu satu kesepakatan dan kerjasama di antara kedua-duanya (menteri dan timbalan menteri),” katanya.

Lihat Komen
ADS