Tuan Ibrahim: Bukan larang, tapi nasihat berhati-hati
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, sekali lagi mempertahankan diri berhubung kenyataannya mengenai kewajaran anggota parlimen mengisytiharkan harta masing-masing.
Ditemui Malaysiakini di parlimen hari ini, Tuan Ibrahim berkata kenyataan dibuatnya sebelum ini bukan bermaksud untuk melarang seseorang mendedahkan harta masing-masing.
Sebaliknya kata anggota parlimen Kubang Kerian itu, ia bertujuan untuk memberi peringatan agar berhati-hati.
“Saya sebut banyak kali, hadis ini bukan melarang isytihar, cuma Nabi SAW pesan, berhati-hati kerana ramai pendengki.
"Bahkan dalam Islam ini, kita bagi zakat dan negara kita dah ada undang-undang bahawa semua penjawat awam kena lapor kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), kena bayar cukai dan kena isytihar sebagainya, tak ada masalah.
“Tetapi Nabi SAW ingatkan adanya pendengki-pendengki yang ramai,” katanya.
Tuan Ibrahim berkata demikian mengulas kenyataan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail semalam yang mengingatkan beliau mengenai cabaran pernah dilontarnya kepada Najib Razak dan Rosmah Mansor untuk mengisytiharkan harta beberapa tahun lalu.
Usah pertikai kata nabi
"Pada tahun 2015 Tuan Ibrahim cabar Najib dan Rosmah isytihar harta. Kalau 2015 Tuhan tak suruh, kenapa anda (Tuan Ibrahim) suruh (Najib dan Rosmah) isytihar harta?
"Tuan Ibrahim kata Tuhan tak suruh isytihar harta, saya ada 'khilaf' (beza pendapat) bab ini, saya tolak (pendapat Tuan Ibrahim), Islam pentingkan integriti," katanya di Putrajaya, semalam.
Pada 2015, Tuan Ibrahim mengemukakan cabaran itu pada Najib dan Rosmah susulan laporan The Wall Street Journal berkenaan wang berbilion ringgit dalam akaun peribadi bekas perdana menteri itu.
Ketika itu Tuan Ibrahim berkata langkah berkenaan merupakan respons paling berkesan terhadap dakwaan tersebut serta menangani persepsi negatif terhadap Najib.
Baca Undang-undang isytihar harta tak adil, kata Najib
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata hadis mengenai isytihar harta itu telah lama ada dan tidak perlu dipertikaikan lagi.
"Hadis nabi ini ada sejak dulu lagi, tak ada masalah dan jangan kita pertikaikannya.
“Apabila nabi sebut demikian, apakah kita menganggap bahawa apa baginda katakan itu satu yang berkait dengan dalil? Bagi kita jika itu nas yang ada, kita terima.
“Dia (Saifuddin Nasution) tak perlu pusing faktalah,” katanya.
Tambah Tuan Ibrahim, pada PAS tidak timbul isu anggota parlimen pembangkang tidak mahu mengisytihar harta.
Tetapi Tuan Ibrahim berkata ia melibatkan dua perkara.
“Pertama, usul itu sendiri yang tidak ada bidang kuasa perundangan dan tidak ada sumber kukuh.
“Yang kedua, pengisytiharaan (dulu) kepada pemimpin kerajaan, perdana menteri dan kabinet, tetapi sekarang semua orang boleh melihatnya. Jadi, saya fikir dia harus faham perbezaan dua situasi tersebut,” katanya.

