Dua pelajar perolehi 15 1A dalam SPM 2005
Seorang pelajar dari Sabah dan seorang dari Klang masing-masing memperolehi 15 1A dalam kesemua mata pelajaran yang mereka ambil untuk muncul calon paling cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas yang keputusannya diumumkan hari ini.
Seorang pelajar dari Sabah dan seorang dari Klang masing-masing memperolehi 15 1A dalam kesemua mata pelajaran yang mereka ambil untuk muncul calon paling cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas yang keputusannya diumumkan hari ini.
Mereka terdiri Chin Shiang Jin dari Sekolah Menengah Kian Kok, Kota Kinabalu, dan Esther Elizabeth Jack dari Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Lumu, Klang.
Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Ahamad Sipon ketika mengumumkan keputusan itu di Putrajaya, berkata turut membanggakan ialah daripada 55 pelajar cemerlang seluruh negara, lima daripadanya ialah pelajar istimewa.
Menurut lapaoran Bernama, seorang daripada pelajar istimewa itu, Albert Wong Kit Ming yang lumpuh seluruh badan dari SMK Sri Permata, Petaling Jaya; mendapat 11 1A.
Yang lain ialah Lum Kah Yee, juga lumpuh dari SMK St Mary, Kuching; Ng Chek Ee, pekak dan bisu dari SMK Sultan Abd Samad, Petaling Jaya; Abdul Malik Mohd Sayuti yang cacat mata dan sumbing dan Jaziel Tan Pyan Wei pelajar rabun, kedua-dua dari SM Pendidikan Khas Setapak.
Ahamad berkata seramai 4,779 calon sekolah Kementerian Pelajaran berjaya memperolehi A dalam semua mata pelajaran yang diduduki, dan daripada jumlah itu, seramai 945 mendapat 1A dalam semua mata pelajaran.
Kualiti pencapaian
Seramai 438,132 calon menduduki peperiksaan SPM tahun lepas, dan daripada jumlah itu, 342,547 pelajar atau 91 peratus, berjaya mendapat sijil dengan memperolehi sekurang-kurangnya lulus Bahasa Melayu.
Selain dua pelajar yang memperolehi 1A dalam kesemua 15 mata pelajaran yang diambil, empat pelajar berjaya mendapat 14 1A, 17 pelajar (13 1A), 88 pelajar (12 1A), 306 pelajar (11 1A) , 506 (10 1A), 21 pelajar (9 1A), dan dua pelajar (8 1A).
Ahamad berkata 969 pelajar bukan daripada sekolah Kementerian Pelajaran memperolehi A dalam semua mata pelajaran yang diambil, dan di kalangan mereka, seramai 194 pelajar mendapat 1A semua mata pelajaran termasuk Chin, yang mendapat 15 1A.
Beliau berkata daripada segi kualiti, calon menunjukkan pencapaian yang tinggi dalam 64 pelajaran apabila 10 peratus atau lebih calon mendapat gred cemerlang iaitu 1A dan 2A.
Katanya bagi enam mata pelajaran teras kecuali Sains, pelajar yang mendapat gred cemerlang (1A dan 2A) melebihi 10 peratus. Bagi mata pelajaran Sains, 9.3 peratus pelajar memperolehi gred cemerlang.
Daripada sudut kuantiti pula (gred lulus hingga cemerlang), prestasi semua mata pelajaran teras melebihi 70 peratus iaitu Bahasa Melayu (91.1 peratus), Bahasa Inggeris (74.9 peratus), Pendidikan Islam (85.9 peratus), Pendidikan Moral (75.2 peratus), Sejarah (74.4 peratus), Matematik (76.2 peratus) dan Sains (90.6 peratus).
Ahamad berkata beberapa mata pelajaran elektif yang mencatatkan gred 1A dan 2A termasuk Matematik Tambahan (18.2 peratus), Prinsip Perakaunan (25.1 peratus), Fizik (16.1 peratus), Kimia (16.2 peratus) dan Biologi (13.5 peratus).
"Secara terperinci, prestasi semua 104 mata pelajaran SPM 2005 membanggakan," katanya.

