Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri: Cadangan pindaan hukuman mati dibentang minggu depan

Selepas mendengar pandangan daripada pihak berkaitan, Menteri undang-undang Liew Vui Keong berkata kabinet memutuskan untuk mengusulkan pemansuhan unsur mandatori hukuman mati bagi kira-kira 11 kesalahan jenayah serius.

Di bawah perubahan yang dicadangkan kepada undang-undang berkaitan, hakim diberi pilihan untuk menggantikan hukuman mati dengan hukuman penjara 30 tahun atau penjara seumur hidup, mengikut budi bicara masing-masing.

"Apabila kabinet memutuskan pada bulan Oktober tahun lepas, ada pendapat yang tegas terhadap penghapusan hukuman mati," kata Liew kepada Malaysiakini.

"Terdapat banyak bantahan tapi malangnya beberapa pilihan raya kecil berlangsung dan hukuman mati menjadi isu ketika itu," katanya.

Liew berpendapat bahawa dengan mengambil kira suara rakyat, cadangan baru kabinet dianggap percubaan untuk membawa reformasi progresif ke negara ini, selain mengambil kira perasaan anggota keluarga mangsa jenayah ganas.

"Kabinet memohon kepada kami untuk melihat penghapusan hukuman mati mandatori dalam kira-kira 11 kesalahan.

"Kami akan membuang hukuman mati mandatori dan memberi kuasa budi bicara kepada hakim dalam 11 kesalahan ini, termasuk pembunuhan, rompakan bersenjata dan kesalahan terhadap Yang di-Pertuan Agong.

"Hakim akan mempunyai budi bicara tentang sama ada menjatuhkan hukuman mati setelah mendengar kes dan keterangan saksi, atau mengenakan hukuman penjara 30 tahun atau penjara seumur hidup," kata Liew.

Liew berkata beliau telah bertemu dengan keluarga mangsa pembunuhan dalam beberapa bulan terakhir dan menjelaskan tentang penghapusan hukuman mati mandatori.

"Pada masa yang sama, saya bertemu dengan NGO dan juga kumpulan yang mahu menghapuskan hukuman mati sepenuhnya. Ada pandangan-pandangan yang bertentangan," katanya.

"Saya juga bertanya kepada keluarga mangsa sama ada mereka mahu pesalah dihukum mati segera atau dipenjarakan sepanjang hayatnya. Dalam perkara ini pun ada pandangan yang berbeza," kata Liew.

Dokumentasi pembentangan pindaan kepada hukuman mati sudah siap dan bacaan pertama di parlimen boleh dibuat minggu depan, tambah Liew

Lihat Komen
ADS