'Hanya Mahathir, Muhyiddin, Mukhriz mampu menangkan Bersatu'
Anggota majlis tertinggi Bersatu Mohd Rafiq Naizamohideen menyokong pendirian timbalan presiden Mukhriz Mahathir, yang mengatakan akar umbi Bersatu tidak mahu ketiga-tiga jawatan tertinggi parti itu dipertandingkan.
"Saya yakin, ketiga-tiga pemimpin utama Bersatu ini bersedia dicabar pada bila-bila masa, oleh mana-mana pihak.
"Namun majoriti kepimpinan di peringkat bahagian merasakan adalah wajar jawatan utama parti itu tidak dipertandingkan memandangkan Bersatu amat memerlukan kepimpinan ketiga-tiga tokoh ini untuk memacu parti bagi mencipta kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang,"kata Mohd Rafiq, yang juga Exco Industri, Perdagangan dan Pelaburan Melaka.
Tiga jawatan tertinggi parti itu kini disandang oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin dan Mukhriz sendiri.
Mukhriz berkata Bersatu akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 20 Julai untuk memastikan pemilihan parti tahun ini berjalan lancar.
Parti itu juga akan membincangkan sama ada konsep "satu anggota, satu undi" sesuai untuk pemilihan anggota majlis tertingginya.
Menurut Rafiq, keputusan PRU14 menjadi bukti bahawa gandingan pimpinan utama Bersatu berjaya mencipta sejarah apabila memenangi PRU14 bersama rakan-rakan komponen PH yang lain.
Bagaimanapun katanya, cabaran yang bakal dilalui Bersatu pada PRU15 lebih mencabar.
"Banyak duri dan ranjau yang perlu ditempuhi oleh Bersatu. Kebanyakan pimpinan bahagian yakin dan percaya hanya gandingan Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz mampu membawa Bersatu memenangi PRU15 dengan lebih cemerlang," katanya.

