INKUES ADIB l Koroner Rofiah Mohamad hari ini memutuskan untuk memanggil seorang pakar fizik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi membantu dalam prosiding inkues untuk menentukan kematian anggota bomba allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Rofiah berkata Dr Amir Radzi Ab Ghani, 48, akan dipanggil sebagai saksi ke-30.

“Pemilihan pakar fizik untuk saksi membantu inkues dalam dua (nama) yang dicadangkan saya...

“Pastikan saksi ini dimaklumkan bersedia untuk membantu mahkamah dari segi persoalan dan yang diperlukan pada 16 dan 17,” katanya di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini.

Dalam carian di laman web UiTM, Amir merupakan pensyarah kanan Kejuruteraan Mekanikal UiTM.

Amir juga merupakan saksi baru dalam inkues tersebut.

Rofiah semalam berkata menerima dua cadangan nama daripada pihak KPKT.

Inkues memanggil seorang pakar fizik yang tiada berkepentingan apabila wujud pertikaian di antara dua saksi sebelum ini iaitu Dr Ahmad Hafizam Hasmi dan Profesor Dr Shahrom Abd Wahid.

Percanggahan pendapat antara Dr Ahmad Hafizam saksi ke-24 yang adalah pakar forensik Hospital Kuala Lumpur dan perunding kanan patalogi forensik United Kingdom selaku saksi ke-29 itu adalah berhubung pengiraan daya hentaman.

Sementara itu, keputusan atas cadangan Pegawai Pengendali inkues, Faten Hadni Khairuddin supaya seorang lagi pakar patologi dipanggil dalam prosiding inkues berkenaan, Rofiah berkata keputusan itu akan diputuskan selepas mahkamah mendengar keterangan Amir Radzi.

"Berhubung untuk memanggil pakar patologi lain seperti dicadangkan pegawai pengendali, ia masih dipertimbang dan perlu selesaikan dahulu keterangan daripada pakar fizik nanti,” katanya.

Adib meninggal dunia pada 17 Disember pukul 9.41 tengah hari di IJN selepas mengalami kecederaan pada malam rusuhan.

Susulannya, satu inkues telah diperintahkan selepas dua versi bertentangan mengenai punca kematiannya.

Satu versi mendakwa dia dilanggar oleh sebuah kenderaan manakala versi lain mendakwa dipukul oleh perusuh.