Majlis Tertinggi (MT) Umno dijangka meluluskan peraturan baru untuk mengenakan tindakan disiplin terhadap anggotanya yang bertanding merebut jawatan dalam parti itu selepas diisytihar muflis.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad berkata tindakan menggantung keanggotaan boleh diambil jika terbukti anggota yang bertanding itu muflis sebagai langkah tidak mahu menjejaskan keseluruhan jentera parti.

"MT akan bermesyuarat hujung bulan ini bagi membincangkan perkara itu dan jika perlu meminda perlembagaan, kita akan memindanya pada Perhimpunan Agung Umno, November ini," katanya pada sidang media di Kangar.

Menurut laporan Bernama, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri itu berkata peraturan parti ketika ini hanya melarang anggota Umno yang muflis itu daripada bertanding tanpa sebarang tindakan susulan dan peraturan baru itu akan memantapkan lagi pentadbiran parti.

Sementara itu, Radzi berkata seramai 125,000 daripada 3.2 juta anggota Umno di seluruh negara dikesan sudah meninggal dunia tetapi nama mereka masih tersenarai sebagai anggota parti manakala terdapat 650,000 anggota belum mendaftar sebagai pemilih.

Anggota Parlimen Kangar itu yang juga Pengerusi Pendaftar Pemilih Umno berkata arahan telah dikeluarkan kepada 19,900 cawangan Umno untuk mengemas kini data anggota dan membuang nama mereka yang sudah meninggal dunia.

Selain itu, arahan turut diberikan untuk mendaftarkan anggota sebagai pemilih bagi membolehkan mereka mengundi pada pilihan raya nanti, katanya.