PM: Wakil rakyat BN dibenar bangkit isu kenaikan harga minyak
Anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) tidak akan dihalang membangkitkan masalah rakyat khususnya kesan kenaikan harga minyak semasa persidangan Parlimen, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) tidak akan dihalang membangkitkan masalah rakyat khususnya kesan kenaikan harga minyak semasa persidangan Parlimen, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"Mereka ingin diberi kesempatan untuk kemuka beberapa masalah yang dihadapi di kawasan mereka yang berkaitan kenaikan harga minyak, saya telah benarkan soalan-soalan itu dikemukakan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat dengan anggota Dewan Rakyat dan Dewan Negara dari BN di Parlimen hari ini.
Malah, Perdana Menteri berkata, isu kenaikan harga minyak boleh dibangkitkan semasa Dewan Rakyat membahaskan usul titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail, yang turut menyentuh mengenai perkara itu semasa baginda merasmikan mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-11 pagi tadi.
Menurut laporan Bernama, Abdullah berkata wakil rakyat BN telah membangkitkan isu kenaikan harga minyak semasa mesyuarat dengan beliau hari ini dan turut memberi cadangan mengenai tindakan yang wajar diambil bagi meringankan kesan kepada rakyat.
"Mereka mengemukakan cadangan tertentu tentang apa yang perlu dilakukan, dan ini amat baik. Ertinya mereka masih prihatin tentang masalah yang dihadapi oleh rakyat," katanya.
Menjawab soalan, Abdullah berkata anggota Parlimen BN juga tidak menghadapi masalah untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai perkara itu.
"Kita tak kata susah nak jelaskan kepada rakyat. Mereka pun dapat memahami kesusahan yang dialami rakyat dalam hal tertentu," katanya.
Beliau mengulangi pendirian kerajaan bahawa penjimatan RM4.4 bilion daripada pengurangan subsidi bagi minyak akan digunakan untuk memperbaiki sistem pengangkutan awam.
Perdana Menteri berkata sidang Parlimen kali ini yang dijadualkan berakhir pada 4 Mei, akan ditambah empat hari.
Ia bagi membolehkan pembentangan Rang Undang-undang Industri Perkhidmatan Air 2005, Rang Undang-undang Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara 2005 dan Bil Kanun Keseksaan (Pindaan) 2004 serta Bil Kanun Acara Jenayah (Pindaan) 2004.
"Jawatankuasa Pilihan telah menjalankan tugasnya dan sekarang mereka sudah bersedia untuk cadangkan kepada kerajaan apa yang perlu dimasukkan dalam akta berkenaan," kata Abdullah.

