Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Mohamed Farid Abu Hassan memaklumkan akan menyiasat dakwaan seorang pegawai jabatan itu cuba mengancam aktivis yang menyokong gerakan anti undang-undang ekstradisi ke China di Hong Kong.

"Saya akan meneliti dakwaan yang dilaporkan. Kami tidak merestui taktik ancaman sebegini," kata Mohamed Farid, lapor Malay Mail hari ini.

Semalam, Ketua Pemuda Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) Siah Kwong Liang dan Presiden Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMany) Wong Yan Ke mendakwa mereka diancam pegawai Cawangan Khas Bukit Aman.

Mereka berkata kejadian berlaku selepas acara solidariti dengan gerakan aktivis di Hong Kong yang anti undang-undang ekstradisi ke China dan masing-masing dipanggil pada hari yang berlainan.

Siah yang disoal siasat polis pada 28 Jun lalu berkata pegawai tersebut pada mulanya mesra, tetapi ketika seorang atasan yang dikenal dengan nama "Tuan Tan" memasuki bilik, dia mula menggunakan gaya bahasa yang lebih menakutkan.

"Katanya: Cawangan Khas ada banyak kuasa. Saya boleh hantar satu surat ke Pendaftar Pertubuhan untuk membatalkan persatuan kamu. Saya boleh telefon majikan kamu dan bertanya jika mereka masih mahukan kamu untuk terus bekerja. Kami malahan boleh mempengaruhi pengajian kamu. Kamu tidak akan tamat pengajian dan tidak boleh mendapatkan kerja," dakwa Siah.

Beberapa hari kemudian pada 3 Julai lalu, Wong pula mendakwa telah disoal-siasat oleh Tuan Tan.

"Seluruh (gaya) soal siasat berbentuk ancaman. Dia berkata dia boleh melakukan sesuatu untuk menghalang saya dari menamatkan pengajian.

"Kemudian, dia bertanya sekiranya saya percaya bahawa dia boleh memindahkan RM2 juta ke dalam akaun bank persatuan Umany dan seterusnya membubarkannya kerana menerima wang haram," kata Wong.

Sejak Jun lalu, Hong Kong telah digegarkan oleh sekurang-kurangnya dua himpunan utama dengan ratusan ribu penunjuk perasaan menuntut Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam meletak jawatan kerana undang-undang ekstradisi itu.

[Baca berita penuh]